Ketua hakim negara jadi diktator jika hapus kuasa perdana menteri? - Tun Abdul Hamid Mohamad


Ketua hakim negara jadi diktator jika hapus kuasa perdana menteri?
PENYINGKIRAN perdana menteri dalam proses pelantikan hakim akan melahirkan penentangan balas.
Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad
22 April 2025, 8:10 am

SIRI 2

PADA 15 Mac lalu, Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam meluluskan resolusi :
• Mengutuk sekeras-kerasnya sebarang gangguan terhadap kebebasan kehakiman
• Seperti perenggan 79 ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat : “Sebarang bentuk pemintasan peruntukan ini boleh menyebabkan pelantikan tersebut sama ada tidak berperlembagaan atau melanggar undang-undang bertulis. Atas sebab ini, tiada seorang pun, sama ada presiden Majlis Peguam Malaysia, mana-mana peguambela atau peguam cara, mana-mana parti politik, Peguam Negara atau sesiapa pun berhak mencadangkan nama seseorang kepada perdana menteri untuk pelantikan”. (Terjemahan saya).

• Menuntut kerajaan menubuhkan Lembaga Penyiasatan untuk menyiasat gangguan kebebasan kehakiman “seperti yang dikatakan oleh ketua hakim negara itu.”

Sila rujuk kembali kepada perenggan 79 ucapan beliau. Apa yang dikatakan oleh beliau? Ini katanya: “Atas sebab ini, tiada … sesiapa pun berhak mencadangkan nama seseorang kepada perdana menteri untuk pelantikan.”Siapa yang hendak disiasat?

Selepas itu, Persatuan Undang-Undang Komanwel (CLA) pula mengeluarkan kenyataan. Tentu sekali Majlis Peguam memohon sokongan mereka. Kenyataan itu bertajuk, Kenyataan CLA mengenai Resolusi Majlis Peguam Malaysia Berkenaan Kebebasan Badan Kehakiman. (Terjemahan saya).
Ia bermula seperti berikut:

“CLA mencatatkan kebimbangan mengenai kesan penghakisan kebebasan badan kehakiman di Malaysia, yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam Malaysia pada Mesyuarat Agung Tahunannya yang diadakan pada 15 Mac 2025, yang menghasilkan resolusi yang diterima pakai sebulat suara.” (Terjemahan saya).

Ia berakhir seperti berikut:


“Oleh itu, CLA menyeru Kerajaan Malaysia untuk terus mempromosi, mempertahankan dan melindungi kebebasan badan kehakiman dengan teliti, memastikan pematuhan ketat terhadap peruntukan perlembagaan dan akta Parlimen dalam pelantikan hakim.”(Terjemahan saya).

Mungkin kenyataan CLA itu lebih memberanikan Tengku Maimun. Pada 8 April pula, beliau mendapat peluang berucap di Persidangan Undang-Undang Komanwel Ke-24 di Malta. Maka, berkatalah beliau kepada hakim-hakim besar dan hakim-hakim mahkamah tertinggi dari seluruh Komanwel:
37) Sejak akhir-akhir ini, terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan Perlembagaan Persekutuan untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim. Perubahan sedemikian pada pandangan saya, akan mengukuhkan kesaksamaan proses pemilihan, memastikan pelantikan kehakiman kekal berlandaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik. (Terjemahan saya).

Ingat kembali peruntukan berkenaan dalam Perlembagaan Persekutuan dimasukkan oleh enam penggubal yang terdiri daripada hakim-hakim dari negara-negara Komanwel, iaitu tiga dari Britain, seorang masing-masing dari Australia, India dan Pakistan.

Kita tidak tahu berapa banyak negara Komanwel yang mengeluarkan perdana menteri daripada proses pelantikan hakim. Saya tidak terkejut jika tidak ada. Kita tidak tahu reaksi hakim-hakim Komanwel itu yang mendengar ucapan ketua hakim negara daripada Malaysia itu.

Kita tertanya-tanya, selama enam tahun beliau menjadi ketua hakim negara, adakah perdana-perdana menteri itu melanggar peruntukan-peruntukan dalam pelantikan hakim. Tidak pula disebut olehnya. Yang disebut adalah kisah penyingkiran Tun Salleh Abas yang sudah lapuk.

Mengapa tiba-tiba sekarang hendak mengenepikan perdana menteri dalam pelantikan hakim? Yang jelas itulah apa yang dituntut oleh Majlis Peguam sekian lama. Majlis Peguam tidak puas hati kerana cadangannya supaya Majlis Peguam dan Persatuan Peguam Sabah dan Sarawak diwakili dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) ditolak.

Majlis Peguam menghujahkan bahawa sebagai pihak berkepentingan, ia dan Persatuan-Persatuan Undang-Undang Sabah dan Sarawak mestilah diwakili. Hujah ini meleset kerana orang yang berkepentingan adalah paling tidak bebas. Mereka mahu orang yang bebas menjadi ahli SPK. Mereka juga mahukan orang yang bebas dilantik menjadi hakim. Ahli SPK yang berkepentingan tentu sekali memilih orang yang akan memihak kepadanya, bukan orang yang bebas, menjadi hakim.

Jika kumpulan yang berkepentingan perlu diwakili, mengapa hanya peguam? Mengapa tidak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), parti-parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah orang perseorangan? Bagaimana jika ada pihak yang mewakili penjenayah tampil ke hadapan dan berkata, “Kami juga pihak berkepentingan dan kami mahu diwakili dalam SPK?”

Kita perlu ingat, di bawah pemerintahan raja mutlak, baginda melantik perdana menteri dan ketua hakim negara yang baginda perkenan. Di bawah pemerintahan raja berperlembagaan, kuasa baginda diserah kepada perdana menteri yang tanggungjawabnya bukan sahaja kepada partinya, tetapi kepada seluruh negara. Beliau perlu berfikir sebagai negarawan bukan ketua parti lagi. Tentu ada perdana menteri yang cuba mengenepikan SPK untuk memilih orang yang disukainya. Tetapi, ada perdana menteri yang mematuhi undang-undang. Itu masalah manusia.

Ketepikan perdana menteri dengan undang-undang tidak bererti pengaruhnya dapat dihapuskan. Ingat, kewangan terletak di bawah kuasanya. Juga ingat, kuasa terakhir, iaitu menasihatkan Yang di-Pertuan Agung masih terletak padanya. Bagaimana jika beliau enggan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik orang yang dipilih oleh ketua hakim negara dan SPK?

Katakanlah perdana menteri berjaya diketepikan dan dengan itu, pelantikan orangnya dapat dielakkan. Adakah itu menjamin orang-orang yang bebas akan dilantik menjadi hakim? Saya katakan orang yang akan dipilih oleh SPK menjadi hakim adalah pilihan ketua hakim negara dan Majlis Peguam.
Saya tidak hairan jika seorang ketua hakim negara akan memilih hakim-hakim yang sekata dengannya untuk mewujudkan korum yang menyokong pendapatnya dalam sesuatu isu dan mempertahankan pendapat itu selepas persaraannya.

PENENTANGAN BALAS
Konfrontasi dan penyingkiran perdana menteri bukanlah cara yang betul. Konfrontasi akan melahirkan counter-confrontation (penentangan balas). Menyingkirkan perdana menteri untuk mengelak kediktatoran perdana menteri mungkin menggantikannya dengan kediktatoran ketua hakim negara.

SPK hendaklah dikekalkan. Semua pihak yang terlibat mestilah berusaha memastikan ia berjaya, bukan untuk menguatkan kedudukan masing-masing dengan mengetepikan yang lainnya. Yang rugi adalah negara.

Saya tidak fikir ada seorang perdana menteri yang akan meminda undang-undang untuk mengeluarkan perdana menteri daripada urusan pelantikan hakim. Itu kerja Pak Pandir.

Kepada Tengku Maimun, berdasarkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya, “Tun telah untung daripada salah laku beliau dan (bekas) Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Tun telah melakukan kerosakan yang cukup kepada undang-undang negara. Mengapa tidak bersara diam-diam apabila mencapai umur 66 tahun?”-UTUSAN



TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

Ulasan