

Berita
Krisis Gaza: Kita tak boleh lagi berdiam diri, kata Hadi
Diterbitkan: Apr 7, 2025 1:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM
PAS menyatakan sokongan penuh mereka terhadap fatwa terkini yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berhubung situasi tragik dan berterusan di bumi Gaza yang menyaksikan pencerobohan zalim oleh Zionis serta pelanggaran terhadap gencatan senjata.
Presidennya Abdul Hadi Awang berkata ketegasan diambil Kesatuan Ulama Islam Sedunia selari dengan pendirian dan seruan PAS yang konsisten dalam isu Palestin, yang menuntut kepada dukungan seluruh umat Islam merentasi perbezaan fahaman dan mazhab melibatkan peranan pemimpin, ulama dan masyarakat.
"Fatwa ini bukan sahaja menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap umat yang tertindas, malah merupakan satu seruan yang tegas dan syarie kepada seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Antara isi penting fatwa tersebut yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak adalah kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap muslim yang berkemampuan demi membebaskan Palestin, campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan serta mempertahankan rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, kata Abdul Hadi, inti pati fatwa itu juga menegaskan kewajipan mengepung entiti Zionis dari segala arah – darat, laut dan udara termasuk menutup laluan air, selat dan ruang udara yang berada dalam kawalan negara-negara Islam.
Jelasnya, sokongan menyeluruh kepada perjuangan Palestin, termasuk dalam aspek ketenteraan, kewangan, politik dan hak asasi manusia, adalah suatu kewajipan agama.
"Penubuhan pakatan ketenteraan Islam bagi melindungi umat Islam dan menghalang pencerobohan adalah satu tuntutan mendesak syarak dan haram menjalinkan sebarang bentuk normalisasi dengan Zionis yang merampas hak dan maruah umat Islam," kata Abdul Hadi.
Terdahulu media melaporkan pergerakan Hamas dalam perutusan sempena Aidilfitri menegaskan bahawa sambutan tahun ini berlangsung dalam keadaan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis terus berdepan "keganasan Zionis yang kejam di tengah-tengah kepungan, kebuluran, pembunuhan, dan kemusnahan."
Sejak awal pagi Aidilfitri, Israel dilaporkan terus melancarkan serangan udara ke atas pelbagai kawasan di Gaza, mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan.
Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang berkata, fatwa tersebut juga mengharamkan pembekalan minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin.
Justeru, katanya, PAS menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk bersama-sama menginsafi dan menghayati isi kandungan fatwa berkenaan, serta memperkasa usaha membantu saudara kita di Palestin melalui doa, sumbangan, pendidikan dan apa jua cara yang termampu.
"Kita tidak boleh lagi berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati kepada kezaliman yang berlaku. Ini adalah medan ujian bagi keimanan dan maruah umat Islam seluruhnya.
"Palestin perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim," kata bekas duta khas ke Timur Tengah itu
Ulasan
Catat Ulasan