
Kes kekasaran terhadap penjaja belon di Jalan TAR
April 7, 2025
IPOH: Isu ‘Abang Belon’ dan Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sepatutnya boleh berlaku penyelesaian mudah, namun merentas batas kuasa hingga menjadi pertembungan antara rakyat dan pihak berkuasa.
Setiausaha PAS Negeri Perak, Ustaz Muhd Hafiz Uthman berpandangan, pertembungan berlaku dengan penguat kuasa adalah lantaran sukarnya sistem yang ada dalam menguruskan perihal berkaitan dengan penjaja kecil.
“Maka berlakulah tindakan atas prinsip menguatkuasakan undang-undang dan mempertahankan sumber meneruskan kehidupan. Konflik berlaku apabila ada penguat kuasa yang bertindak diluar batas kuasa.
“Apatah lagi tanpa uniform yang membolehkan mereka dikenali sebagai penjawat awam. Ia menjadikan konflik bertambah parah,” kata beliau terhadap isu tular yang berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 28 Mac itu.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih parah apabila kemarahan rakyat terhadap isu tersebut dibela pula oleh sekumpulan manusia yang merasakan bahawa emosi tersebut ditujukan kepada kerajaan didukung oleh mereka.
Ditambah lagi ujarnya, apabila ianya merebak dengan kenyataan yang memperlihatkan ketidaktelusan sistem sehingga dikatakan wujudnya halangan terhadap pihak tertentu yang ingin bertemu ‘Abang Belon’.
“Kenyataan polis yang menyelongkar kisah silam ‘Abang Belon’ yang tiada kaitan. Ternyata kisah ini sudah menjadi konflik antara rakyat dan pihak berkuasa, dan bukan lagi ‘Abang Belon’ dan penguat kuasa,” ujar beliau.
Tegas Ustaz Hafiizh, keadilan wajib diperjuangkan dan kebenaran wajib dipertahankan serta kezaliman mesti dihapuskan, sedangkan memilih bersama kezaliman adalah satu kebodohan dan ternyata ‘Abang Belon’ menuntut keadilan.
“Penguatkuasa yang asalnya rakyat biasa mungkin terlupa batas kuasa. Setiap kuasa ada batasnya. Keterlaluan menggunakan kuasa sehingga merasakan diri dan kuasa bersama selamanya.
“Ingatlah, kuasa itu hanya ujian sementara. Jangan lupa diri, kerana putaran bumi sentiasa berubah. Seketika di atas dan akan je bawah,” peringat beliau.
Menurutnya, nasib ‘Abang Belon’ hanyalah secebis kisah rakyat dan menyentuh hati menjelang raya yang asalnya berkisar mengenai seorang anak muda berusaha menumpang simpati dengan usaha kecil menjual belon.
“Sesuatu yang sewajarnya disokong kerana anak muda yang memilih berusaha dari merempat dan meminta,” ujarnya mengajak renungan dan muhasabah pelbagai pihak. – *HARAKAHDAILY 7/4/2025*
Ulasan
Catat Ulasan