Kumpulan Richiamo sasar hasil RM120 juta tahun ini



Kumpulan Richiamo sasar hasil RM120 juta tahun ini
MUHAMAD Zamry Abu Samah ketika ditemui di Richaimo Coffee baru-baru ini.
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
14 April 2025, 8:06 am

PETALING JAYA: Kumpulan Richiamo menyasarkan pendapatan sebanyak RM120 juta selepas mempunyai lebih 220 cawangan pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata, sasaran itu didorong oleh pencapaian pada tahun lalu.

“Richiamo Coffee berbeza kerana syarikat tidak memiliki keseluruhan cawangan. Kita menggunakan lesen untuk membangunkan usahawan dan sudah tentu ia dimiliki oleh pemilik yang berbeza.

“Pendapatan kami adalah RM120 juta setahun dan Richiamo Coffee sahaja menghasilkan pendapatan RM30 juta. Kami juga terdapat beberapa anak syarikat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Rangkaian kedai kopi itu kini sudah memasuki tahun ke – 10 dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) meneroka peluang baharu dengan membuka Richiamo Mart pada bulan Mei tahun lalu dan semakin berkembang.

Sehingga kini, pihaknya mempunyai 220 cawangan Richiamo Coffee dan Richiamo Mart telah berkembang sehingga 10 cawangan.

Muhammad Zamry yakin sambutan yang diterima pelanggan amat menggalakkan kerana produk yang ditawarkan lebih banyak produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki rangkaian Richiamo.

Pada Februari lalu, Richiamo juga telah menandatangani beberapa kerjasama dengan Uzbekistan dengan pelaburan dijangka dalam RM110 juta.

Selain itu, bagi produk, Richiamo sedang mengorak langkah menyediakan campuran kopi pra sedia seperti mocha, latte serta white coffee (kopi putih).-UTUSAN

Ulasan