Lagi kesilapan di Jalur Gemilang: KPM mohon maaf, buat siasatan



Berita
Lagi kesilapan di Jalur Gemilang: KPM mohon maaf, buat siasatan

Diterbitkan: Apr 24, 2025 3:35 PM
Dikemaskini: 3:45 PM

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kesilapan pada Jalur Gemilang semasa pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Ini berlaku selepas Laporan Analisis SPM yang dikeluarkan hari ini, mengandungi Jalur Gemilang yang silap.



Gambar yang dipapakan menunjukkan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang yang mempunyai dua bintang dan bukannya satu yang tergantung di dinding.

Bendera itu juga mempunyai lapan jalur merah dan putih dan bukannya 14.

Susulan itu, KPM turut mengarahkan laporan analisis yang dicetak dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan.

“Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

“Tindakan tegas dan serta merta telah diambil ke atas semua yang terlibat. Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan,” kata kementerian itu.

Minggu lalu, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Insiden itu menyaksikan kritikan pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang bertitah bahawa pengurusan dan sidang pengarang akhbar berkenaan mesti lebih berhati-hati sebelum menerbitkannya.

Susulan tindak balas itu, akhbar berkenaan memohon maaf, dan menyatakan bahawa kesilapan tersebut adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Akhbar itu juga telah menggantung dua editornya berhubung perkara tersebut.

Pada 19 April lalu, penganjur dan sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf kerana video yang dimainkan semasa acara tersebut memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap. Bendera dalam video itu dilaporkan juga tidak mempunyai bulan sabit.

Ulasan