
Lapan mangsa terperangkap banjir diselamatkan di Meru
11 April 2025 08:27am
Masa membaca: 2 minit
KLANG - Seramai lapan mangsa terperangkap dalam banjir yang melanda kediaman di Jalan Meru, Taman Sri Jaya, di sini diselamatkan pada awal pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 pagi.
"Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dan bantuan dari BBP Sri Andalas telah digerakkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Mukhlis memberitahu, kejadian banjir dengan kedalaman air setinggi 0.6 meter itu turut menyebabkan kira-kira 10 buah rumah penduduk terjejas.

Kampung Sungai Merab Luar, Kajang terjejas banjir kilat pada Jumaat. Foto: BOMBA SELANGOR
"Keadaan menjadi semakin mencabar apabila hujan lebat berterusan menyebabkan operasi pemindahan mangsa dilakukan dalam keadaan berjaga-jaga.
"Kerja-kerja pemindahan masih dijalankan dan semua mangsa berjaya dikeluarkan berada dalam keadaan selamat," tambah beliau.
Sementara itu , Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, Kampung Sungai Merab Luar, Kajang dan Taman Sri Jaya, Klang terjejas banjir pada Jumaat.
Katanya, panggilan diterima pihaknya pada jam 3.34 pagi dan sepasukan BBP Dengkil telah dikejarkan ke lokasi.

Pasukan penyelamat membantu memindahkan mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir di Jalan Meru, Taman Sri Jaya.
"Banjir kilat menyebabkan 12 rumah terjejas dengan kedalaman air kira-kira 1.2 meter.
"Air dalam keadaan menyurut dan seramai 15 mangsa berjaya dibawa keluar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam kes berlainan, sepasukan BBP Kapar dan BBP Sri Andalas telah dikejarkan ke Taman Sri Jaya, Klang selepas menerima panggilan pada jam 4 pagi akibat banjir kilat.
Kata beliau, banjir berkedalaman 0.6 meter menyebabkan 10 rumah terjejas membabitkan lapan mangsa.
Ulasan
Catat Ulasan