Larang motosikal guna lebuh raya bertingkat


Larang motosikal guna lebuh raya bertingkat
PAKAR berpendapat, reka bentuk lebuh raya bertingkat boleh mendatangkan risiko kepada penunggang motosikal. - GAMBAR HIASAN
Oleh HAFIZ SAIDINA
21 April 2025, 7:00 am

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melarang penunggang motosikal menggunakan lebuh raya bertingkat ekoran reka bentuk lebuh raya itu yang tidak sesuai untuk motosikal sekaligus mengancam keselamatan dan meningkatkan kemalangan.

Pakar keselamatan jalan raya berkata, lebuh raya bertingkat sering kali mempunyai permukaan jalan yang lebih keras dan tiada lorong khas untuk motosikal, menjadikannya kurang sesuai untuk keselamatan penunggang motosikal.

Selain itu, reka bentuk seperti garisan pembahagi yang tinggi, kekurangan ruang kecemasan dan struktur yang sempit boleh meningkatkan risiko kepada motosikal.

Lebih membimbangkan, reka bentuk lebuh raya bertingkat yang ada hanya mem fokuskan kepada keperluan kenderaan empat roda untuk mengelak kesesakan dan ia tidak sesuai digunakan motosikal.

Antara lebuh raya bertingkat adalah Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH), Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Ketua Pusat Penyelidikan Jalan Raya Fakulti Kejurute­raan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, kebanyakan lebuh raya bertingkat direka dengan fokus pada aspek keselamatan dan kelancaran trafik untuk kende­raan empat roda dan ke atas.

“Infrastruktur seperti laluan, jambatan, dan struktur lebuh raya bertingkat biasanya lebih menekankan aspek kese­lesaan dan keselamatan untuk kenderaan besar dan tidak mengambil kira keperluan khusus motosikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di Lebuhraya Bertingkat SPE mendapati, penunggang motosikal menggunakan lebuh raya bertingkat sebagai alternatif selain untuk mengelak kesesakan.

Bagaimanapun lebuh raya tersebut tidak sesuai digunakan motosikal kerana ia mempunyai laluan yang lebih curam dan kurang ruang kecemasan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, sekatan penggunaan motosikal di lebuh raya ber­tingkat merupakan salah satu cara yang paling efektif untuk menurunkan statistik kemala­ngan dan kematian melibatkan pengguna motosikal di negara ini.

Namun kata beliau, langkah itu perlu dilaksanakan seiring dengan inisiatif-inisiatif lain yang memberi ruang alternatif kepada mobiliti golongan pengguna motosikal sedia ada kerana ia merupakan antara pengangkutan yang banyak digunakan di negara ini.

“Lorong motosikal atau laluan yang bersesuaian amat penting untuk memudahkan pergerakan penunggang motosikal yang selamat.

“Tanpa laluan ini, penunggang motosikal terpaksa ber­kongsi laluan dengan kenderaan lain. Pergerakan kenderaan lain yang mendadak semasa menukar lorong ataupun berhenti mengejut akan meningkatkan risiko pelanggaran dengan motosikal.

“Penggunaan motosikal di lebuh raya bertingkat lebih beri­siko semasa hujan kerana tiada kemudahan tempat berteduh yang selamat disediakan. Penunggang motosikal terpaksa meneruskan perjalanan dalam keadaan tidak selesa dengan penglihatan terhad dan badan basah,” katanya.

Pada Februari lalu, media melaporkan, seorang wanita meninggal dunia akibat tercampak ke bawah Lebuhraya DASH.

Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal dan hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh serta dipercayai bergesel dengan sebuah kereta di hadapan sebelum tercampak dan terjatuh dari jejambat.

Selain itu, pada Disember 2024, seorang penunggang motosikal bersama isteri dan anaknya nyaris maut apabila tercampak ke dalam sungai selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam satu kemala­ngan di Lebuhraya AKLEH.

Tambah Siti Zaharah, ketika ini tiada dasar atau peraturan telah dibuat untuk mengharam­kan penggunaan motosikal di lebuh raya bertingkat.

Kata beliau, kerajaan boleh meminda akta dan peraturan berkaitan untuk mengharamkan penggunaan motosikal di lebuh raya bertingkat atas faktor keselamatan.

“Namun, proses tersebut perlu dibuat berdasarkan kajian keselamatan yang teliti, pertimbangan pakar-pakar teknikal jalan dan pengangkutan, serta perbincangan bersama pihak berkepentingan lain untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan dan mampan.

“Inisiatif-inisiatif seperti yang dinyatakan sebelum ini perlu dilaksanakan dahulu sebelum penggunaan motosikal di lebuh raya bertingkat diha­ramkan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan