
Larang ulas PRU Singapura: Mana kebebasan suara?
April 29, 2025
KUALA LUMPUR: Larangan rakyat Malaysia mengulas Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura walaupun dari luar negara mencetuskan persoalan berhubung prinsip kebebasan bersuara dan hubungan diplomatik serantau.
Mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, situasi itu menunjukkan wujud amalan dua standard apabila rakyat Singapura bebas membincangkan politik Malaysia secara terbuka, termasuk menerbitkan kajian akademik.
“Mengapa rakyat Malaysia tidak dibenarkan mengulas mengenai PRU Singapura yang sedang berlangsung, walaupun melakukannya dari negara mereka sendiri?
“Malah, menyebut nama calon dalam hantaran media sosial dianggap sebagai campur tangan asing dan boleh menyebabkan kandungan tersebut disekat di Singapura.
“Sementara itu, rakyat Singapura bebas untuk mengulas dan menjalankan kajian mendalam mengenai politik Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat, turut membangkitkan perkara itu dengan merujuk penerbitan Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS)–Institut Yusof Ishak di Singapura yang menerbitkan buku bertajuk ‘The Defeat of Barisan Nasional’ pada 2018 selepas PRU14.
“Saya juga telah dijemput untuk menyumbang sebuah artikel bertajuk ‘Chempaka, Selangor: Keeping the Faith’. Tidakkah ini boleh dilihat sebagai usaha untuk mempengaruhi pemikiran politik rakyat Malaysia?” katanya.
Justeru, beliau menggesa supaya pendekatan berkaitan hubungan politik dan diplomatik dihormati secara adil dan konsisten oleh semua pihak.
Terdahulu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura yang mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Online (OEA) yang dimuat naik di Facebook oleh warga asing termasuk dua pemimpin PAS.
Laporan media dari republik itu berkata, Iskandar dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dikenal pasti cuba campur tangan dalam PRU 2025 Singapura.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, tindakan sebilangan warga asing menggesa rakyat negara itu mengundi berlandaskan agama adalah sesuatu yang melampaui batas.
Namun begitu, Iskandar menyatakan rasa terkejut apabila dituduh cuba mempengaruhi keputusan PRU Singapura yang sedang berlangsung melalui hantaran di Facebook.
“Saya hanya melaporkan mengenai beberapa calon Muslim yang menonjol dari parti-parti pembangkang yang bertanding dalam pilihan raya tersebut.
“Saya juga memuat naik satu video seorang calon muda Muslim dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memperkenalkan dirinya kepada pengundi.
“Memandangkan majoriti rakan dan pengikut Facebook saya terdiri daripada orang Melayu Muslim, hantaran ini pastinya menarik minat mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan