
Lawan secara ‘anak jantan’, jangan guna aset kerajaan
April 17, 2025
TAPAH: Parti kerajaan diminta untuk berlawan secara ‘anak jantan’ dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, kempen PRK bagi pihak yang bertanding seharusnya menggunakan antara aset parti dengan parti sahaja dan tidak melibatkan aset kerajaan.
“Pertarungan yang berlaku pada kali ini merupakan pertarungan antara parti lawan dengan jentera dan aset kerajaan. Mereka yang duduk di Pakatan Harapan (PH) lama sangat menjadi pembangkang.
“Merekalah yang dulunya ‘belasah’ Umno, ‘belasahnya’ Barisan Nasional (BN) kerana penggunaan aset kerajaan. Mengisytiharkan projek-projek dan sebagainya, sekarang ini mereka buat balik.
“Sebab itu apa yang mereka ludah, mereka jilat balik,” katanya yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Perikatan Nasional PRK N.48 DUN Ayer Kuning ketika ditemui _Harakahdaily_, semalam.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu, PH selaku kerajaan sepatutnya melakukan reformasi dijuangkan mereka selama ini dan tidak melakukan perkara yang dahulunya dikritik.
“Barulah rakyat menilai kekuatan dari segi ideologi, kekuatan dari segi calonnya, kekuatan dari segi wawasan yang nak dibawa, kekuatan dari segi perancangan dan sebagainya.
“Sepatutnya begitu, hari ini kamu (kerajaan) tak boleh bercakap mengenai perkara itu kerana kamu menggunakan seluruh aset kerajaan untuk melawan kami,” katanya.
Sepertimana berlaku pada siri-siri PRK sebelum ini yang menyaksikan jentera, premis dan aset kerajaan digunakan, perkara sama turut berlaku dalam kempen PRK N.48 DUN Ayer Kuning, di sini.
Malah, ‘gula-gula’ pilihan raya atau rasuah politik turut berulang terjadi apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan 33 projek dengan peruntukan RM6.13 juta pada minggu lalu. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan