Letupan: Persoalan dibangkit perlu dijawab secara profesional



Letupan: Persoalan dibangkit perlu dijawab secara profesional
April 5, 2025

Zurk Ahmad

SHAH ALAM: PAS Selangor ingin sekali lagi merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar semua yang tercedera dalam insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights itu segera sembuh dan diberi ketabahan.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, tragedi itu bertambah pilu selepas jumlah rasmi rakan-rakan yang tercedera, kerosakan yang berlaku, serta kerugian yang terpaksa dialami diisytiharkan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kesakitan dan kesusahan yang dialami mangsa perlu dihayati bersama oleh seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik.

“PAS Selangor ingin menegaskan bahawa tragedi ini adalah ujian yang amat besar kepada mereka dan kita semua seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, PAS Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, termasuk agensi kerajaan dan swasta, pasukan Khidmat Malaysia serta Jabatan Amal Malaysia yang terus memberi bantuan sejak hari kedua Aidilfitri.

“Khidmat bakti kalian membuktikan bahawa setiap daripada pegawai kerajaan, sektor swasta, NGO dan rakyat di negara kita mempunyai iltizam dan semangat patriotik yang amat tinggi di samping terbukti mempunyai kepakaran yang tidak dapat dinafikan oleh kita semua lagi,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berhubung aktiviti korek tanah menggunakan jengkaut dan mesin pengorek bagi tujuan penggantian paip kumbahan hanya 30 meter dari pusat letupan, Zurk berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius.

“PAS Selangor berpandangan bahawa puluhan persoalan yang telah dibangkitkan oleh rakyat termasuk soal kelulusan, permit tamat tempoh, pemantauan, status kontraktor dan pampasan perlu dijawab dengan penuh tanggungjawab dan profesional,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu menjadikan tragedi itu sebagai titik tolak untuk mengkaji dan menyemak semula dasar serta prosedur sedia ada demi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

“Kerajaan hendaklah menunjukkan kepimpinan, empati dan tanggungjawab yang sebenar dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya.

PAS Selangor katanya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Selangor, agar bersama membantu mangsa tragedi itu sama ada melalui sumbangan, khidmat sokongan atau sekurang-kurangnya melalui doa. – HARAKAHDAILY 5/4/2025

Ulasan