Lima daerah Selangor dilanda banjir kilat


Lima daerah Selangor dilanda banjir kilat
April 11, 2025

Keadaan terkini di Seksyen 26, Shah Alam, Selangor ditenggelami banjir. (FOTO: FB Muhammad Asraf)

SHAH ALAM: Hujan lebat sejak kira-kira jam 1 pagi tadi telah mengakibatkan beberapa kawasan di lima daerah Selangor dilanda banjir kilat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, daerah terlibat ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

“Untuk Petaling, kawasan terjejas adalah Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah, Kampung Baru HICOM, Kampung Seri Aman, Kampung Padang Jawa dan laluan motosikal Jalan Persekutuan (Shah Alam).

“Di Klang, banjir kilat membabitkan Bukit Payung; Taman Daya, Meru; Pekan Meru, Taman Mutiara dan Taman Sri Muda. Di Sepang membabitkan Kampung Abu Bakar Baginda, Sungai Merab dan Desa Vila Merab,” katanya ketika dihubungi media tempatan, hari ini.

Ghazali berkata, dua kawasan di Hulu Langat turut terjejas iaitu Laman Gahal dan Batu 14, manakala di Gombak melibatkan kawasan Jalan Ayer Panas.

Beliau berkata, ketika ini air Sungai Klang dan Sungai Langat berada pada paras tinggi.

Sementara itu, seramai 26 penduduk di Kampung Meru, Kapar, Klang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai susulan banjir kilat yang berlaku di kawasan berkenaan.

Ghazali berkata, jumlah keseluruhan rumah dan keluarga yang terjejas masih dalam proses pengesahan.

“Hujan yang berterusan bermula jam 2.30 pagi menyebabkan berlakunya limpahan air di kawasan berkenaan,” katanya.

“Limpahan air berlaku akibat hujan berterusan bermula sekitar jam 2.30 pagi yang menenggelamkan beberapa kawasan rendah,” katanya.

Justeru, pihak berkuasa kini sedang memantau situasi semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar berwaspada serta bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. – HARAKAHDAILY 11/4/2025

Ulasan