Mahu percaya China atau Hermès?


Mahu percaya China atau Hermès?
SEORANG lelaki membawa sejumlah beg kertas tertera logo jenama Hermes. - AFP
Oleh .WARTAWAN LUAR NEGARA
18 April 2025, 8:15 am

BEIJING: Ketika ketegangan tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus memuncak, muncul naratif mengejutkan melalui video tular dalam TikTok dan Instagram yang mendapat perhatian ramai warganet seluruh dunia mengenai gambaran di sebalik tabir industri pembuatan jenama fesyen mewah.

Sejak beberapa minggu lalu, pekerja kilang dan pemilik perniagaan di China menggunakan platform media sosial ini untuk berkongsi apa yang dikatakan sebagai sisi tersembunyi dunia pembuatan fesyen mewah, sambil mendakwa banyak jenama terkenal sebenarnya tidak ‘se-Eropah’ seperti yang disangka.

Antara video paling tular dimuat naik oleh pengguna @senbags2 yang meraih lebih 10 juta tontonan menunjukkan seorang lelaki mendedahkan kira-kira 80 peratus beg tangan mewah sebenarnya dihasilkan di China, walaupun label pada produk menunjukkan sebaliknya.

“Selama lebih 30 tahun, kami telah menjadi pengilang asal (OEM) bagi beberapa jenama terbesar seperti Gucci, Prada dan Louis Vuitton.

“Kami yang menghasilkan beg-beg ini dengan ketelitian, tetapi keuntungan dinikmati oleh pihak lain. Apa yang saya banggakan ialah kualiti kami, tenaga kerja mahir kami dan rantaian bekalan kami yang lengkap,” kata lelaki itu.

Lelaki itu mendakwa, apabila negara-negara Barat cuba mengurangkan kebergantungan kepada pengilangan di China, beberapa jenama cuba memindahkan pengeluaran ke tempat lain tetapi menyedari tiada kilang di negara luar yang mencapai standard serupa.

“Kos lebih tinggi, kecekapan rendah dan infrastruktur tidak mencukupi. Sebab itulah kebanyakan jenama mewah masih bergantung kepada kami, walaupun mereka tak umumkan secara terbuka.

Jadi kenapa tak beli terus dari kami?” katanya.

Pendedahan itu mencetuskan perdebatan hangat tentang ketelusan dalam industri fesyen mewah terutamanya apabila pelanggan terus membayar harga tinggi untuk barangan yang sebelum ini diketahui adalah buatan tangan di bengkel tradisional di Perancis atau Itali.

Menurut laporan Statista pada tahun 2023, terdapat antara 200 hingga 250 jenama di seluruh dunia yang dikategorikan sebagai mewah dan secara tradisinya, menekankan asal-usul Eropah mereka, dengan menonjolkan kemahiran pertukangan tangan dan warisan tradisi.

Walaupun jenama-jenama ini masih mengekalkan imej Eropah, pendedahan dalam talian itu mendakwa terdapat sebahagian pengeluaran mungkin disalurkan kepada kilang di China yang beroperasi secara senyap di belakang tabir.

Kilang-kilang ini biasanya terikat dengan perjanjian sulit (NDA), yang menghalang mereka daripada mendedahkan nama jenama yang mereka hasilkan.

Standard kualiti ketat

Terdapat sekitar 70 hingga 100 jenama fesyen mewah yang diiktiraf di peringkat global dan dianggap berada di peringkat teratas dimiliki oleh konglomerat mewah seperti LVMH serta Kering.

Menurut laporan Newsweek, Hermès berkata, syarikat itu tidak mengeluarkan produk mereka di China sebaliknya setiap beg dibuat di Perancis dan jenama itu mempunyai bengkel di wilayah termasuk Pantin, di luar Paris, Ardennes, Lyon serta Normandy.

Jelasnya, menghasilkant sebuah beg Hermès bukan kerja mudah kerana mengambil masa antara 15 hingga 40 jam untuk disiapkan.

Bagi model ikonik seperti Birkin, Kelly, dan Constance, tukang perlu berlatih sehingga lima tahun sebelum layak untuk menghasilkannya.

Hermès berkata, pihaknya mengawal kualiti secara menyeluruh melalui kilang merawat kulit mentah milik mereka sendiri dan setiap beg mempunyai kod unik yang dicop panas oleh tukang sebagai pengesahan ketulenan.

Prada dan Miu Miu yang dimiliki oleh Prada Group pula menghasilkan beg tangan di Itali, terutamanya di kompleks Valvigna di Tuscany.

Hermès naikkan harga di AS

Hermès mengumumkan akan menaikkan harga produk di AS bagi menampung kesan tarif import sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden, Donald Trump.

Menurut Ketua Kewangan Hermès, Eric Halgouet, kenaikan harga ini akan berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.

Ulasan