Majlis Hari Raya PAS Pusat meriah, ukhuwah dan perjuangan disemarakkan


Majlis Hari Raya PAS Pusat meriah, ukhuwah dan perjuangan disemarakkan
April 27, 2025

Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya PAS Pusat.

PORT DICKSON: Suasana penuh kemeriahan dan ukhuwah mewarnai Majlis Sambutan Hari Raya PAS Pusat yang diadakan di Dewan The Grand, Lukut di sini hari ini, apabila ribuan tetamu membanjiri kawasan majlis sejak awal pagi.

Majlis yang berlangsung dalam suasana ceria dan mesra itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang, masing-masing tampil dengan pakaian berwarna-warni dan semangat Aidilfitri yang membara.

Kehadiran pimpinan tertinggi PAS yang turun bersama rakyat menambah sinar kemesraan, menyemarakkan lagi suasana sambutan yang dipenuhi dengan gelak tawa, salam-salaman dan pelukan mesra antara tetamu.

Jamuan makanan tradisional seperti ketupat, lemang, rendang dan pelbagai kuih-muih turut disediakan, menjadikan suasana lebih meriah dan menghidupkan roh Aidilfitri yang penuh kasih sayang serta persaudaraan.
Petugas yang bersedia melayan tetamu yang hadir.

Majlis ini turut mencerminkan keindahan perjuangan PAS yang bukan sahaja berpaksikan medan dakwah dan politik, tetapi turut menzahirkan nilai kasih sayang dan kekitaan dalam kalangan ahli serta penyokong parti.

Sambutan luar biasa ini menjadi simbol kekuatan ukhuwah yang dipegang teguh dalam perjuangan parti, sekali gus menjadi penyuntik semangat untuk terus melangkah gagah menegakkan Islam di bumi Malaysia. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

Ulasan