Mangsa tragedi Putra Heights boleh saman berkumpulan



Mangsa tragedi Putra Heights boleh saman berkumpulan
April 4, 2025

Yusfarizal Yussoff

KUALA LUMPUR: Mangsa tragedi kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights, Selasa lalu, boleh mengemukakan tuntutan secara berkumpulan bagi menuntut ganti rugi akibat kecuaian pihak terlibat.

Peguam, Yusfarizal Yussoff berkata, walaupun setiap individu boleh membuat tuntutan insurans, tuntutan saman atas kecuaian boleh difailkan secara berkumpulan jika punca kesalahan adalah sama.

Katanya, undang-undang membenarkan saman difailkan oleh sekumpulan individu yang mengalami kerugian akibat punca kecuaian yang sama dan tindakan ini dikenali sebagai berkelas (class action).

“Oleh itu, peranan komuniti dan persatuan penduduk amat penting untuk mengumpulkan mangsa yang terjejas serta mendapatkan nasihat guaman bagi tindakan seterusnya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS Selangor, menasihat mangsa untuk menyimpan dan mengumpulkan bukti kerosakan sebelum membersihkan rumah mereka.

“Ambil gambar dan video bagi merekodkan semua kerosakan yang berlaku. Ini akan menjadi bukti utama dalam tuntutan ganti rugi nanti.

“Persatuan penduduk boleh memainkan peranan mengingatkan semua mangsa untuk mengambil langkah ini bagi memastikan hak mereka terbela,” katanya.

Yusfarizal menerangkan bahawa tuntutan ganti rugi merangkumi beberapa aspek, termasuk kerosakan harta benda, kehilangan data penting dan tekanan emosi.

Bagi tuntutan membabitkan perabot rumah, katanya bukti yang diperlukan ialah perabot itu berada dalam rumah dan dibeli oleh mangsa.

“Saya tidak mahu menyatakan bahawa mereka perlu simpan resit sebab saya faham, tidak ramai orang yang menyimpan resit pembelian.

“Namun, sekurang-kurangnya mungkin gambar sebelum berlaku kebakaran itu menunjukkan bahawa perabot itu berada di situ dan memang peralatan rumah itu wujud dan rosak,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan tuntutan atas kehilangan data digital, yang semakin menjadi keperluan utama masyarakat moden.

“Contoh kalau saya ada satu `hard disk’ yang menyimpan ribuan gambar keluarga yang merupakan nilai estetik kepada diri saya. Maka itu juga satu kehilangan dan kerosakan yang besar kepada seseorang.

“Jadi bagaimana tuntutan ini dibuat, kita kena buktikan data ini disimpan dalam rumah, dalam hard disk, ini gambarnya, ini buktinya dan mengalami kerosakan.

“Tuntutan juga boleh dibuat di mahkamah walaupun bersifat subjektif, tidak boleh diukur secara ringgit, tetapi mahkamah boleh memberikan ganti rugi am yang merupakan pandangan mahkamah terhadap kerugian tersebut dan akan diberikan pampasan,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa tekanan emosi akibat tragedi itu boleh dijadikan asas tuntutan, tetapi memerlukan bukti perubatan.

“Jika kita berada dalam keadaan tertekan dan saya tengok ada mangsa kehilangan hampir sembilan rumah sewa hingga memberitahu lebih teruk daripada B40, menjadi gelandangan dan sebagainya, maka itu adalah tekanan mental.

“Saya nasihat penduduk, tekanan mental sukar untuk dibuktikan kerana begitu subjektif. Jadi pergi jumpa doktor untuk rawatan kesihatan mental supaya nanti ada laporan perubatan yang mengatakan bahawa mangsa mengalami tekanan yang teruk akibat kejadian itu.

“Jika di mahkamah kita beritahu mengalami tekanan emosi, tapi tidak ada bukti perubatan maka susah untuk diterima oleh mahkamah,” katanya.

Selepas tragedi ini, beliau berkata menyimpan segala dokumen berkaitan perbelanjaan adalah penting seperti terpaksa menyewa hotel atau kenderaan sementara kerana segala kos yang dikeluarkan boleh dimasukkan dalam tuntutan ganti rugi.

Beliau meminta mangsa mendapatkan nasihat guaman dan mengambil langkah sewajarnya untuk menuntut hak mereka melalui saluran undang-undang yang betul. – HARAKAHDAILY 4/4/2025

Ulasan