Masalah timbul apabila penguatkuasaan…



Masalah timbul apabila penguatkuasaan…
Oleh Badrul Hafizan Bin Mat Isa
10 April 2025, 6:40 am

Insiden membabitkan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan penjaja baru-baru ini sewajarnya menjadi pengajaran terutama mengenai pendekatan penguatkuasaan yang diambil.

Sebenarnya insiden yang timbul itu boleh dielakkan sekira­nya tindakan penguatkuasaan dibuat secara berterusan dan konsisten. Ia bukan hanya setakat isu penjaja haram di kaki lima tetapi banyak permasalahan lain di peringkat tempatan dan komuniti.

Ia termasuklah masalah klasik seperti pembuangan sampah haram, longkang tersumbat, struktur binaan yang dibina tanpa kelulusan, peniaga warga ­asing malah sehingga aduan anjing liar. Semua masalah berkenaan berterusan berlaku seperti ­tiada kesudahan sedangkan peraturan mengenainya serta tindakan mengatasi sudah ada, jadi apakah puncanya?

Sudah tentu ia berbalik kepada tindakan pemantauan dan penguatkuasaan. PBT sudah tentu tahu, kurangnya pemantauan dan longgarnya penguatkuasaan telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk ketidakpatuhan. Sekali sahaja tindakan tidak diambil atau kelonggaran diberikan kepada pelaku lantas memberi isyarat bahawa kesalahan tersebut boleh diterima, sekali gus menggalakkan perbuatan sama berulang.

Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan imej PBT itu sen­diri malah turut mendatangkan pula rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk. Lebih mengecewakan, apabila tindakan mengatasi lewat diambil walaupun aduan telah dibuat berbulan-bulan lamanya. Menimbulkan pula persoalan apabila ke­tegasan yang diambil pula tidak konsisten, ia seperti bermusim dan hanya selepas aduan di media ataupun selepas me­nerima tekanan awam dan tular di media sosial.

Ketelusan dalam tindakan penguatkuasaan perlu ditingkatkan, penduduk harus dimaklumkan tentang tindakan yang ­telah diambil bagi setiap aduan agar timbul rasa percaya dan kerja­sama antara komuniti dan PBT. Apabila wujudnya rasa percaya tersebut ditambah dengan PBT mengambil pendekatan sentiasa komunikasi dengan komuniti, secara tidak langsung penduduk bersedia untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada PBT.


Kadangkala dalam isu penguatkuasaan ini, ia me­nunjukkan cerminan hubungan antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi. Pendekatan boleh diambil bukan hanya bertindak tetapi juga kepada membina kepercayaan dan kefahaman dalam kalangan komuniti.

Di satu sudut lagi, kita tidak boleh menafikan ada PBT yang berdepan masalah sumber manusia dan logistik yang terhad untuk memantau semua kawasan. Tanpa kehadiran yang konsisten di lapangan, keberkesanan penguatkuasaan akan terus dipersoalkan. Namun itu bukan alasan supaya penguatkuasaan tidak boleh diambil terutamanya dalam era digital penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV), dron, dan sistem pelaporan berasaskan aplikasi yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

Selain itu, PBT juga harus menjalin kerjasama erat dengan agensi dan pihak berkuasa yang lain terutama berkenaan isu rentas bidang kuasa ataupun permasalahan yang lebih kompleks seperti pencemaran industri. Operasi-operasi bersepadu perlu ditingkatkan supaya ia dapat dilihat lebih serius dan konsisten.

Memang penguatkuasaan bukan semata-mata soal ketegasan dan menghukum tetapi ia perlu sebagai mesej jelas bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran peraturan. Kurangnya penguatkuasaan akan menjadi akar kepada pelbagai masalah, tanpa penguatkuasaan yang konsisten, undang-undang hanya tinggal sebagai peraturan di atas kertas dan tidak dihargai.



Badrul Hafizan Mat Isa ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan