Masih trauma dengan hujan batu panas



Masih trauma dengan hujan batu panas
Fariz Nor melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kejadian letupan paip gas 1 April lalu di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, semalam.
Oleh HAFIZ SAIDINA
13 April 2025, 6:15 am

SUBANG JAYA: Majoriti penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru mengakui masih terkenang kejadian letupan paip gas di Putra Heights di sini yang mengakibatkan rumah mereka rosak dan hangus serta meninggalkan trauma mendalam.

Sebaik sahaja dibenarkan memasuki kawasan penempatan itu, pengalaman dihujani batu-batu kecil yang panas kembali menerjah pemikiran mereka.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rumah-rumah yang berdekatan turut terkesan walaupun jarak kediaman mereka 500 meter dari pusat letupan.

Mangsa yang tinggal di Kampung Kuala Sungai Baru, Yaakob Yusuf, 75, berkata, ketika kejadian, dia sekeluarga terperangkap hampir setengah jam sebelum dapat menyelamatkan diri.

Katanya, penduduk dihujani batu-batu kecil yang panas sehingga mengakibatkan bumbung rumah rosak dan meruntuhkan siling rumah.

Lebih menakutkan, katanya, ketika dia mahu mengambil kenderaan untuk menyelamatkan diri, pemegang pintu kereta terasa panas walaupun belum memasuki kereta.


“Kami tidak fikir orang lain, kami hanya fikir diri kami sekeluarga. Bunyi batu hempap zink rumah kuat sangat. Setengah jam saya duduk dalam rumah sebelum keluar.

“Dalam rumah tidak rasa panas, tetapi apabila keluar, panas dia Tuhan saja tahu. Ada yang berlari pergi ke sungai belakang kerana terlalu panas dan ada yang juga terpaksa berendam dalam longkang yang dipenuhi air untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia yang juga pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, dia tidak terfikir untuk mencari kediaman baharu kerana hampir 75 tahun menetap di situ.

Seorang lagi mangsa yang merupakan pesara guru, Zoolkepli Mohd. Yusuf, 65, berkata, jarak rumahnya hanya 200 meter dari lokasi letupan.

Katanya, semua penduduk berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sehingga ada yang mengambil jalan pintas dengan terjun ke sungai.

“Pada waktu itu, saya, isteri bersama empat anak di rumah. Selepas letupan itu, bunyi sekeliling seperti gas masak dan 10 kali ganda lebih kuat. Saya buka pintu rumah dan melihat sekitar rumah sudah berwarna kuning.

“Keadaan sangat panas seperti hampir 1,200 darjah Celcius. Rasa seperti 12 kali masak air menggunakan dapur. Memang hujan tetapi hujan batu,

“Kami tidak mahu mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan diri. Kami hanya ambil dokumen peribadi sahaja dan ambil kenderaan untuk keluar,” katanya. – UTUSAN

Ulasan