
MB Perak tak serius untuk tangani isu kepentingan awam
Insiden paip air pecah, bekalan terputus
April 24, 2025
TAPAH: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menyifatkan jawapan Menteri Besar Perak berhubung isu paip pecah di Taman Bunga Raya, di sini sebagai sangat mengecewakan.
Katanya, penduduk Tapah masih belum melupakan insiden paip air mentah pecah yang berlaku pada 4 Februari lalu, hingga mengakibatkan lebih 50,000 akaun pengguna terputus bekalan air hampir tiga minggu.
“Perkara ini mencetuskan keresahan, kemarahan penduduk dan hingga kini masih belum ada jawapan memuaskan daripada Kerajaan Negeri Perak. Ini memberi implikasi besar kerana dalam sehari pun kita tidak tahan, apatah lagi hampir tiga minggu.
“Kesan turut dirasai peniaga, penggunaan harian rumah, hotel dan industri kecil,” katanya dalam sidang media harian PERIKATAN NASIONAL (PN), di sini hari ini.
Menurutnya, pada 10 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Air Perak (LAP) mengesahkan kejadian berlaku akibat pencerobohan pemaju ke atas tanah rizab LAP, yang disifatkan beliau sebagai perkara serius dan menyerupai insiden Putra Heights, namun kali ini membabitkan paip air.
“Perlu diingat jajaran paip gas negara ini juga melalui DUN Ayer Kuning. Maka kegagalan menangani isu ini dengan serius boleh membawa risiko yang lebih dahsyat pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, tiada laporan lengkap dikeluarkan, tiada tindakan terhadap pemaju atau kontraktor, mungkin kerana kes itu tidak melibatkan nyawa.
“Sebagai kerajaan, walaupun berlaku kemalangan kecil ia perlu diambil tindakan serius kerana melibatkan kepentingan awam. Ini bukan bentuk kepimpinan kerajaan yang prihatin seperti dislogankan pimpinan Kerajaan Madani atau Barisan Nasional,” katanya.
Idris menegaskan isu itu sudah dibangkitkan dalam sidang media pada 18 April lalu, sebelum isu pencemaran najis babi.
“Jangan kata kami tunggang isu babi. Isu ini ialah isu kepentingan awam yang lain. Tugas kami sebagai pembangkang konstruktif adalah demi rakyat. Sepatutnya isu bersama dianggap sebagai ‘common issue’.
“Tapi apa boleh buat, nak harap kerajaan tak bersuara. Jadi kita pula terpaksa ambil hal ini sebagaimana juga isu pencemaran najis babi.
“Walaupun penduduk pernah ambil tindakan kecil, namun kerajaan tidak beri reaksi. Apabila ADUN kita bangkitkan di DUN dan kita buat sidang media, baru ada respon,” katanya.
Beliau berkata, jawapan Menteri Besar bahawa perkara itu masih tiada bukti kukuh untuk ambil tindakan serta paip pecah belum dikenal pasti amat mengecewakan.
“Ini bukan berlaku di hutan belantara atau Gunung Gua Tempurung, tetapi di taman jalan utama. Patut kerajaan efektif terus bertindak. Saya pernah jadi menteri. Kalau dapat laporan, terus ‘call’ pegawai yang berkaitan.
“Walaupun JAKIM tiada kuasa ambil tindakan isu ajaran sesat di negeri, kita terus hubungi Jabatan Agama Islam negeri,” katanya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Beliau berkata, apabila ditunjukkan keratan akhbar kenyataan CEO LAP yang mengesahkan punca adalah pencerobohan ke atas tanah rizab LAP, Menteri Besar menyifatkan itu hanya pandangan pihak LAP ketika itu.
“Apakah pandangan pakar seperti LAP boleh dianggap tidak penting? Bila didesak menafikan kenyataan itu jika salah, beliau enggan berbuat demikian.
“LAP ini pengerusinya Menteri Besar Perak sendiri. Pegawai yang beri kenyataan itu ialah pegawai LAP, bukan Exco Pemuda Perak atau ADUN pembangkang,” katanya.
Menurutnya, Menteri Besar memaklumkan Pegawai Daerah akan mengetuai siasatan dan akan bentang laporan penuh apabila siap, namun tapak kejadian telah dikambus dan kerja baik pulih selesai.
“Bagaimana siasatan boleh dijalankan dengan efektif? Pemaju juga masih dibenarkan beroperasi. Semakan kami, lesen pemaju masih aktif di laman KPKT dan projek masih berjalan termasuk dua projek di Parlimen Tapah,” katanya.
Beliau mempersoal kelewatan siasatan sejak Februari lalu, sedangkan ia tidak melibatkan kawasan yang besar.
“Persoalan mudah yang perlu dijawab Menteri Besar ialah adakah pelan yang diluluskan semasa permohonan kebenaran merancang mematuhi sempadan tanah rizab LAP? Ketika pembinaan, adakah kontraktor menceroboh tanah rizab?
“Ketika mohon Perakuan Berperingkat Kerja Tanah, adakah Majlis Daerah Tapah membuat pemeriksaan tapak? Jika ya, mengapa pelanggaran tidak dikesan?” katanya.
Beliau berkata, semua persoalan itu tidak memerlukan siasatan panjang, sebaliknya boleh dijawab telus oleh kerajaan negeri sekiranya serius.
“Adakah kita mahu tunggu satu lagi insiden paip pecah atau lebih buruk, paip gas meletup, sebelum tindakan diambil? Sampai bila Tapah dan Ayer Kuning perlu terus menunggu jawapan? Rakyat berhak tahu, kebenaran wajib ditegakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan