
MB Selangor perlu berkecuali, elak ‘conflict of interest’
April 6, 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari disarankan agar berehat dari aspek siasatan tragedi di Putra Heights, Puchong adalah untuk mengelak sebarang konflik kepentingan yang mungkin boleh dikaitkan dengan diri beliau.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, ia disebabkan agensi bertanggungjawab dalam kelulusan projek yang didakwa menjadi punca tragedi itu berada di bawah pemimpin tersebut.
Sedangkan katanya, dari aspek penyelarasan bantuan kebajikan tiada siapa yang melarang pemimpin itu daripada terlibat, apatah lagi bukan Kerajaan Negeri Selangor sahaja yang ada di lokasi, tetapi pelbagai pihak turut membantu mangsa.
“Ada yang sentap pasal cadangan suruh MB Selangor bercuti oleh Ketua Penerangan PAS Pusat (Ustaz Ahmad Fadhli Shaari). Meh aku beri penjelasan kenapa ada baiknya MB Selangor berkecuali.
“Dalam sidang media MB semalam, dia respon panjang lebar pasal ‘mesin pengorek’, tapi dia tak respon pasal kelulusan permit mengorek oleh KUSEL (Koridor Utiliti Selangor) dan MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya).
“(Iaitu) kepada kontraktor yang dalam tindakan tatatertib CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan)? Sedangkan isu ni adalah paling penting dan menjadi punca utama kepada kewujudan kontraktor tu ditapak projek berhampiran paip gas PETRONAS.
“Kalau KUSEL dan MBSJ tak luluskan permit mengorek tu, takdelah syarikat kontraktor yang kena ‘blacklist’ oleh CIDB buat kerja kat situ. Tak berlakulah insiden tu dan tidaklah penduduk Putra Heights mengalami kerugian dan kecederaan.
“Bila wartawan tanya MB, dia hanya jawab audit dah masuk. Audit mana yang kau maksudkan ni? Audit dalaman syarikat? Audit Kerajaan Selangor? Audit Negara? Bersungguhlah sikit respon. Rakyat Selangor memerhati ni,” tegasnya.
Nurul Islam turut mempersoalkan kenapa tidak Ketua Penyiasat insiden iaitu Ketua Polis Selangor yang diminta untuk masuk dan siasat proses kelulusan pelan projek dan permit mengorek diberikan KUSEL dan MBSJ.
“Kenapa SPRM tidak terus masuk sekarang? Bukan apa bimbang lama-lama bukti dihapuskan pula,” ujarnya yang terdahulu telah mengemukakan pelbagai soalan berkaitan namun masih tidak dijawab Amirudin sehingga hari ini.
Beliau turut mendedahkan carta organisasi KUSEL dipengerusikan oleh Dato’ Ir Izham Hashim yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Amirudin.
Manakala Ahli Lembaga pula antaranya adalah Dato Ts Saipolyazan M Yusop yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Selangor di mana KUSEL pula adalah agensi penyelia utiliti negeri Selangor di bawah MBI.
“Jadi disebabkan terdapat kaitan yang rapat MB Selangor dengan KUSEL dan MBSJ yang merupakan agensi memberikan keluluskan kepada kontraktor tersebut, ada baiknya MB Selangor berehat dari aspek siasatan. Untuk elak sebarang ‘conflict of interest’.
“Ini bukan tuduhan, tapi cadangan supaya MB Selangor dilihat telus dalam menguruskan siasatan insiden ni. Atas sebab yang sama YB Ustaz Fadhli Shaari cadangkan MB Selangor ambil cuti.
“Zaman PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berjiwa besar membenarkan DG (Tan Sri) Hisham (Abdullah) untuk ‘lead’ ketika (pandemik) Covid-19. Apa salahnya MB Selangor ke belakang sekejap?
“Beri ruang kepada orang lain yang tiada kepentingan untuk ‘lead’ siasatan insiden ni supaya keadilan bagi mangsa dapat ditegakkan,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 6/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan