
MUIZ Hot Chicken mempunyai lebih 280 kiosk di seluruh negara.
Oleh HENDRA WINARNO
7 April 2025, 8:56 am
BERBEKALKAN modal permulaan hanya RM800 dan semangat keusahawanan yang tinggi, usahawan bumiputera, Muhamad Muizzuddin Remle berjaya membangunkan Muiz Hot Chicken sebagai jenama makanan segera tempatan yang semakin dikenali.
Pengasas dan Pengarah Muiz Food Industries Sdn. Bhd. itu berkata, perniagaan yang bermula dengan sebuah gerai kecil di Parit Raja, Muar, Johor kini berkembang pesat dengan lebih 280 kiosk di seluruh negara.
“Selepas menamatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2013, saya bekerja dengan ibu saudara sebagai pembancuh air dan tukang goreng ayam.
“Dari situ, saya melihat potensi besar dalam industri makanan jalanan dan nekad membangunkan jenama sendiri dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
“Pada awalnya, saya hanya berniaga menggunakan konsep gerai kecil. Namun, dengan usaha penjenamaan semula serta inovasi seperti stall lipat dan kiosk, perniagaan saya berkembang pesat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Muizzuddin, perjalanan beliau dalam membina empayar perniagaannya tidak mudah dengan kekangan modal, kekurangan tenaga kerja mahir serta persaingan tidak sihat antara cabaran yang perlu diharunginya.
“Terdapat agen yang pernah menyertai perniagaan ini tetapi akhirnya meniru sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) gorengan, resepi dan konsep perniagaan kami.
“Malah, pada awalnya ibu bapa tidak bersetuju dengan keputusan untuk berniaga kerana mereka mahukan saya melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Namun, kejayaan yang dikecap hari ini membuktikan keputusannya tepat apabila syarikat berjaya menjual kira-kira 130,000 ekor ayam sebulan, bersamaan lebih 230,000 kilogram, dengan nilai jualan mencecah RM5 juta,” ujarnya.
Beliau berkata, jenama Muiz Hot Chicken bukan sekadar menawarkan ayam goreng rangup berperisa unik, malah membuka peluang kepada individu yang berminat menyertai industri makanan segera menerusi sistem francais.
“Dengan modal serendah RM12,750, usahawan boleh menyertai model perniagaan kiosk dan food truck yang ditawarkan oleh syarikat, di mana keuntungan bulanan setiap kiosk mampu mencecah RM10,000 dan lebih.
“Kami mahu lebih ramai anak muda dan usahawan kecil menceburi bidang ini. Dengan sistem yang sistematik serta bimbingan daripada pihak syarikat, sesiapa sahaja berpeluang untuk berjaya,” katanya.
Muiz Food Industries kini memiliki kilang sendiri di Muar, Johor, yang berperanan dalam memastikan kawalan kualiti ketat dalam setiap produk ayam perap yang dihasilkan.
Kejayaan yang diraih Muizzuddin turut melayakkannya menerima pengiktirafan sebagai Ikon Usahawan Industri Makanan dan Minuman pada Anugerah Usahawan Mara (Aura) 2024 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Beliau menegaskan, syarikatnya komited dalam memastikan produk mereka memenuhi piawaian halal dan standard kualiti yang ketat.
“Muiz Hot Chicken telah memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2024 bagi bahan mentah seperti ayam perap sejuk beku dan tepung goreng ayam, manakala permohonan halal untuk restoran sedang dalam proses audit pengesahan.
“Selepas memperoleh sijil halal penuh, kami akan memperluaskan pasaran ke pasar raya, stesen minyak serta menambah lebih banyak kiosk di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, kami turut melebarkan perniagaan ke kawasan Rehat & Rawat (R&R) dengan pembukaan kiosk pertama di R&R Seremban (arah selatan),” katanya.
Menurutnya, syarikat juga baru melancarkan produk baharu iaitu set ‘Mix & Match’ sempena ulang tahun ke-12 syarikat, yang hanya boleh didapati di restoran utama di Muar. Muiz Hot Chicken juga akan memperkenalkan set ‘Kids Meal’ pada tahun ini bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Tambahnya, dengan strategi perniagaan kukuh dan jenama yang semakin berkembang, Muiz Hot Chicken membuktikan usaha gigih serta inovasi mampu membawa perniagaan kecil ke tahap lebih tinggi.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan