
Muslimat PAS: Solat hajat bukan bahan jenaka
April 21, 2025
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang serius dan merasa amat tersinggung dengan tindakan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang secara terbuka menyebut lafaz ‘solat hajat’ dalam nada dilihat sebagai jenaka ketika di Perak baru-baru ini.
Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, apa yang lebih mendukacitakan, ia disambut pula dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan sekutunya dari Barisan Nasional yang dipercayai merupakan orang Melayu-Islam.
“Lebih parah, ungkapan ini bukan kali pertama disebut oleh beliau. Ia pernah diucapkan dalam program Kesiapsiagaan Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2025, Ops Siaga Raya di Suria KLCC pada 20 Januari 2025, semasa menceritakan mengenai tiga buah helikopter untuk pasukan bomba.
“Kini diulangi sekali lagi dalam nada sinis, tanpa sensitiviti terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Solat hajat bukan bahan jenaka, ia adalah lambang ketundukan jiwa, doa penuh harapan, dan pengaduan ikhlas kepada Allah SWT.
“Khususnya ketika umat Islam menghadapi kesusahan, bencana, atau apa jua keperluan mendesak. Ia adalah ibadah yang suci, dan mempermainkannya adalah satu penghinaan terhadap kesucian Islam itu sendiri.
“Perbuatan seperti ini telah berulang kali dilakukan oleh individu bukan Islam, namun umat Islam sering memilih untuk berdiam diri demi menjaga keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, apabila ada pihak lain yang mempersenda budaya atau agama mereka, tindakan pantas terus diambil termasuk saman ratusan ribu ringgit, namun, apabila Islam dihina, ia dianggap seolah-olah perkara biasa.
“Saya menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan menyiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan, kerana kenyataan seperti ini bukan sahaja mencemarkan kesucian Islam, malah boleh mengundang ketegangan agama dan mengganggu keharmonian rakyat berbilang kaum.
“Jika kita benar-benar menjunjung Perlembagaan Persekutuan, maka keadilan mesti ditegakkan secara adil dan tanpa pilih kasih. Jangan biarkan sensitiviti umat Islam terus dipandang enteng, seolah-olah suara kami tiada nilai di bumi sendiri.
“Saya juga menyeru seluruh umat Islam agar bangkit dengan bijaksana dan beradab dalam mempertahankan maruah agama. Islam tidak pernah mengajar kebencian, tetapi Islam juga tidak membenarkan penghinaan terhadap agama dan ibadahnya.
“Semoga Allah SWT memelihara kesucian agama ini, memberi kita kekuatan untuk terus istiqamah, dan melindungi tanah air kita daripada kezaliman serta ketidakadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan