
Nasib ‘si kecil’ di Lorong Haji Taib
Oleh ARIF AIMAN ASROL dan NURUL IRDINA SUMALI
6 April 2025, 7:00 am
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak kecil yang belum memahami tentang erti dunia dan seharusnya menikmati kasih sayang daripada ibu bapa terpaksa menjadi pengemis demi memberi wang kepada keluarga.
Pengalaman menyayat hati itu dirasai oleh anak-anak kecil yang tinggal di Lorong Haji Taib, Chow Kit di sini, yang mendapat julukan sebagai ‘anak lorong’ disebabkan persekitaran mereka membesar.
Mereka membesar dalam ruang yang serba kekurangan iaitu di bilik sangat kecil yang disewa pada kadar lebih RM500 sebulan.
Malah, terdapat keluarga yang tidak mampu untuk membayar jumlah tersebut, menyewa mengikut hari pada kadar RM25 dan jika tiada wang, akan merempat di luar beralaskan kotak sahaja.
Tindakan memperdagangkan kanak-kanak itu bukan sahaja merupakan bentuk penderaan dan menandakan sikap ketidakbertanggungjawaban ibu atau bapanya tetapi turut menyalahi undang-undang, antaranya Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
KANAK-KANAK ini dikatakan berani mendekati dan bermesra dengan mana-mana individu yang tidak dikenali semata-mata mahu meminta sedekah wang ringgit.

Kanak-kanak dipaksa mengemis
Pemerhatian Mingguan Malaysia selama beberapa hari mendapati, kanak-kanak seawal usia empat tahun berkeliaran di sekitar kawasan tersebut tanpa pengawasan orang dewasa.
Malah, mereka turut menunjukkan sikap tidak takut dan berani untuk mesra dengan individu yang tidak dikenali termasuk wartawan akhbar ini yang memegang makanan ringan serta wang.
Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, anak lorong sering dipaksa untuk mengemis oleh ahli keluarganya bagi meraih simpati daripada individu yang berkunjung ke kawasan itu.
“Perkara ini sejak dahulu lagi. Anak-anak ini tidak tahu apa pun, mereka disuruh oleh ibu atau bapanya yang memang tidak bekerja, duit yang diperoleh itu akan diberikan kepada keluarganya.
“Kalau duit hasil mengemis untuk beli makanan untuk anak itu sendiri mungkin bolehlah ‘pejam mata’ tetapi ada yang guna untuk beli barang terlarang seperti dadah. Ini memang tidak patut,
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyelamatkan anak-anak ini,” katanya ketika
ditemui.

Seorang ibu yang berstatus miskin bandar berehat sebentar sambil menggendong anak kecilnya ketika tinjauan Mingguan Malaysia di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. – MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Si ibu bawa anak minta sedekah
Seorang kanak-kanak yang identitinya tidak boleh didedahkan berkata, dia pernah dibawa oleh ibunya ke Pasar Chow Kit pada waktu malam untuk meminta wang daripada pengunjung di situ.
“Dulu emak pernah bawa untuk minta duit daripada orang dekat sana, duit semua emak ambil, kata untuk simpan,” ceritanya.
Dalam pada itu, penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Noor berkata, tindakan ibu membawa anaknya untuk mengemis dan meminta sedekah adalah langsung tidak wajar.
“Anak itu seolah-olah jadi ‘alat’ untuk dia meraih simpati orang ramai, mana boleh macam itu. Sepatutnya mereka bekerja, bukan memperalatkan anak mereka,” katanya.
Beli air ketum
Sementara itu, Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan (PJJ), Azhan Adnan berkata, baru-baru ini terdapat seorang kanak-kanak yang dikesan dipaksa mengemis oleh teman lelaki ibunya.
“Ada seorang lelaki memaksa anak teman wanitanya menjadi pengemis hanya kerana mahu membeli air ketum.
“Saya pegi jumpa anak itu tanya dia pergi ke mana, katanya pergi minta sedekah dengan ibunya. Si ibu itu pula mengambil lagi seorang anak kecil lain untuk bersama-sama minta sedekah,” katanya.
Azhan yang mesra disapa Abbe Hae berkata, anak-anak yang tidak bersalah dan masih kecil itu tidak sepatutnya membesar dalam keadaan sedemikian kerana mereka berhak mendapatkan kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, JKM tidak dapat membantu kanak-kanak berkenaan sekiranya mereka berada dalam bilik sewa kerana hanya boleh dilindungi apabila berjaya ditahan ketika mengemis.
“Banyak kes anak dipaksa mengemis di sini, ada yang sedang disiasat untuk mendapatkan bukti. Jadi PJJ sedang bekerjasama dengan JKM untuk menyelamatkan anak-anak tersebut.
“Sekiranya anak-anak ini dari kecil dilatih dan diajar untuk mengemis, secara langsung mereka akan berfikir bahawa itu merupakan kerja untuk mereka. Ini tidak bagus kerana mereka juga merupakan aset negara,” jelasnya.
Suasana warga miskin bandar dan gelandangan ketika tinjauan Mingguan Malaysia pada bulan Ramadan di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur.

Ramai hendak keluar jika diberi peluang
Azhan berkata, tiada mana-mana individu yang tidak mahu keluar dari kawasan itu terutama sekiranya mereka mempunyai anak-anak kecil bagi mengelak nasib sama turut menimpa.
“Ada seorang wanita yang sebelum ini bekerja sebagai tukang lipat kain dengan upah sekadar RM7 sehari, jadi kami cuba membantunya memandangkan dia juga mempunyai ijazah. Kita cuba ubah dia menjadi seorang pencipta kandungan dengan bantuan pempengaruh lain.
“Kita sudah nampak arah kejayaan untuk wanita itu, dia memang hendak keluar dari sini. Tidak ada seorang pun yang memang mahu tinggal di sini, sekiranya ada peluang memang mereka hendak keluar sebab tidak mahu anak-anak mereka terjerumus dalam kancah ini,” katanya.
Kanak-kanak dipaksa mengemis berisiko hadapi ancaman keselamatan, trauma
Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan di Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Azmawaty Md. Nor berkata, pengalaman hidup tanpa perlindungan, makanan yang mencukupi dan kasih sayang keluarga boleh memberi kesan mendalam terhadap perkembangan emosi dan mental mereka.
“Kanak-kanak gelandangan sering mengalami tekanan emosi, ketakutan berterusan serta rasa tidak selamat.
“Mereka juga lebih cenderung mengalami trauma akibat penderaan fizikal, emosi dan kadangkala seksual oleh individu yang mengambil kesempatan ke atas keadaan mereka,” katanya.
Menurut beliau, tanpa intervensi awal, trauma yang dialami boleh menyebabkan gangguan perkembangan sosial dan emosi, malah meningkatkan risiko mereka terjerumus dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah apabila dewasa.
“Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran sebegini sering menghadapi masalah keyakinan diri, kesukaran mempercayai orang lain dan sukar mengawal emosi.
“Akibatnya, mereka lebih mudah dipengaruhi oleh individu atau kumpulan yang ingin mengeksploitasi mereka untuk tujuan jenayah,” jelasnya.
Perlu intervensi tamatkan kitaran
Azmawaty berkata, kitaran kehidupan gelandangan ini akan berterusan jika tiada usaha serius yang dilakukan untuk menangani punca utama masalah, termasuk kemiskinan dan ketidakstabilan keluarga.
Katanya, kerajaan perlu menggandakan usaha dalam menyediakan perlindungan serta peluang pendidikan kepada kanak-kanak gelandangan bagi memutuskan kitaran kemiskinan yang berulang.
“Program sedia ada perlu diperluas dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk menyediakan pusat perlindungan khas yang bukan sahaja memberi tempat tinggal sementara tetapi juga sokongan psikologi dan pendidikan kepada mereka.
“Selain itu, kerajaan juga perlu mencari langkah jangka panjang termasuk menyediakan latihan kemahiran untuk ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan, memastikan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan serta memperketatkan undang-undang bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi,” jelasnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan