
Nasihat saya diperlekeh – TMJ
Tunku Mahkota Ismail
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
18 April 2025, 8:30 am
PETALING JAYA: Pemain-pemain Liga Malaysia (Liga M) terutama yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) diingatkan supaya tidak terlalu mengikut ‘cakap’ penyokong, peminat atau netizen sehingga memperjudikan masa depan mereka.
Teguran itu disuarakan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkata segelintir bekas pemainnya yang kini berdepan kesusahan ekoran tidak menerima gaji dengan kelab yang diwakili ketika ini.
Jelas Tunku Mahkota Ismail, beliau sudah lama memberi nasihat supaya tidak terburu-buru meninggalkan JDT sama ada secara pinjaman atau sebaliknya semata-mata ingin mencari minit permainan seperti mana yang disuarakan penyokong.
“Dah bertahun cakap. Apa sahaja yang saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan. Dulu masa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus dan main kejohanan antarabangsa, cari penyakit dengar cakap penyokong.
“Yang menasihat tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara macam seolah-olah lebih tahu pasal bola sepak dan berpengalaman dalam arena bola sepak.
“Kononnya dinasihat untuk keluar dari JDT untuk dapat minit permainan. Akhirnya gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada dan main pertandingan antarabangsa pun tiada.
“Sekurang-kurangnya di JDT walaupun minit kurang, boleh bersara sebagai juara, pengalaman luas dan kewangan pun stabil,” katanya di laman sosial miliknya, semalam.
Tambah Tunku Ismail lagi, beliau mengingatkan supaya proses pinjaman pemain, biarlah diuruskan pihak kelab kerana lebih mengetahui yang mana terbaik untuk seseorang pemain itu.
“Yang dinasihat keluar negara pula hanya setakat dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan ‘performance’ (prestasi) pun tak seberapa, rosak.
“Apabila bersara terpaksa kais sana sini. Sorang demi sorang jadi mangsa dengar cakap orang. Kalau nak ‘loan’ (pinjaman) pun biar kelab bantu, jadi gaji tak jadi isu. Bukan buat sendiri semata-mata dengar cakap orang,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan