Nazri gesa Tengku Maimun dikenakan tindakan tegas keluar kenyataan tidak profesional


Nazri gesa Tengku Maimun dikenakan tindakan tegas keluar kenyataan tidak profesional

13 April 2025 05:23pm
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas ke atas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat susulan kenyataan tidak profesional yang dibuatnya baru-baru ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ini kerana beliau mengeluarkan beberapa kenyataan yang bukan sahaja memalukan rakyat Malaysia di mata dunia, malah memberi imej buruk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Nazri yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat berkata, sebagai seorang Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihat seorang Perdana Menteri mencampuri urusan kehakiman negara.

“Daripada segi profesionalisme, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan beliau tetapi apabila beliau mengeluarkan kenyataan meminta tiada campur tangan Perdana Menteri dalam lantikan hakim tertinggi negara. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya melihat kenyataan yang dikeluarkan beliau sangat tidak profesional sebagai seorang Ketua Hakim Negara dan juga penjawat awam, lebih-lebih kenyataan itu dilakukan di luar negara dan mendapat perhatian oleh masyarakat dunia," katanya memetik laporan sebuah media tempatan pada Ahad.

Mohamed Nazri berkata, tindakan Tengku Maimun mengeluarkan kenyataan tersebut menunjukkan seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara ‘koboi’ yang tidak menjalankan tugas mengikut undang-undang.

Beliau menambah, ucapan Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini juga jelas memburukkan nama negara.

Menurutnya, Tengku Maimun mungkin telah menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang Ketua Hakim Negara, namun tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan disifatkan mencemari pentadbiran cemerlang yang ditunjukkan Kerajaan Madani.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri mencadangkan Jemaah Menteri Kerajaan Madani mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat kenyataannya yang jelas cuba menjatuhkan imej Malaysia.

“Apabila beliau menyebut syor kajian yang menyebut kuasa Perdana Menteri diasingkan dalam pelantikan itu, adakah itu dapatan sebenar yang diperoleh. Bagaimana satu kajian yang belum selesaikan didedahkan untuk pengetahuan masyarakat dunia, seolah-olah Perdana Menteri memang bertindak sedemikian," katanya.

Mohamed Nazri menegaskan, beliau tidak menolak syor daripada kajian itu sama ada daripada Majlis Peguam atau mana-mana pihak.

"Namun, sekiranya kajian itu belum tamat, ia tidak patut dibincangkan apatah lagi daripada seorang Ketua Hakim Negara. Seorang berprofil tinggi dalam negara seperti beliau seharusnya bercakap berdasarkan fakta semata-mata.

“Disebabkan itulah, saya meminta Kabinet negara mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun kerana apa yang dinyatakan beliau sememangnya tidak benar dan menuduh kerajaan mencampuri urusan perundangan negara," katanya.

Ulasan