Nilai rampasan penyeludupan dadah di sempadan menurun 60 peratus - KP Kelantan


Nilai rampasan penyeludupan dadah di sempadan menurun 60 peratus - KP Kelantan
Oleh Siti Rohana Idris - April 28, 2025 @ 4:49pm
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat (baju merah) bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud (baju biru) ketika menghadiri Majlis Aidilfitri Kontinjen Kelantan 2025 di Dewan Dato' Dr Abdul Rahman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. - Foto SITI ROHANA IDRIS

KOTA BHARU: Penutupan pangkalan haram di sempadan Malaysia- Thailand secara agresif sejak Disember tahun lalu, memberi impak positif kepada penurunan nilai rampasan dadah ke negara ini mencecah 60 peratus.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata, setakat Mac lalu, nilai rampasan yang dicatatkan adalah RM2.2 juta berbanding RM5.3 juta tahun lalu dalam tempoh yang sama.

"Ini adalah kejayaan bermakna bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dapat mengekang penyeludupan dadah susulan larangan penggunaan pangkalan haram menyeberangi negara dan Thailand sepanjang Sungai Golok yang berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu.

"Kita akan perketatkan lagi kawalan melalui penugasan Pasukan Gerakan Am (PGA), cawangan khas (SB) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sepanjang kawasan sempadan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, kes pergerakan rentas sempadan turut menurun dengan purata 20 individu sehari berbanding 400 hingga 500 orang sebelum penguatkuasaan peraturan itu.

Katanya lagi, untuk menaikkan lagi peratusan penurunan rampasan dadah yang masuk menerusi sempadan ke tahap maksima mungkin agak mustahil kerana kekangan keanggotaan pihak berkuasa untuk mengawal sempadan sepanjang 136.4 kilometer (km).


"Bagaimanapun kita akan terus berusaha tetapi yang penting adalah kesedaran kepada masyarakat bahawa kita tegas dengan penguatkuasaan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang dilaksanakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Aidilfitri Kontinjen Kelantan 2025 di Dewan Dato' Dr Abdul Rahman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Berhubung kenyataan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh yang memberitahu Kelantan antara negeri yang dikenal pasti sebagai zon masalah penagihan dan pengedaran dadah paling kronik, Mohd Yusoff berkata, pihaknya sentiasa mengumpul data sebelum operasi dijalankan di daerah yang terbabit.

"Kita sentiasa mengumpul data setiap minggu dan bulan untuk mengetahui daerah mana yang merekodkan kes berkaitan dadah seterusnya mengambil tindakan termasuk operasi," katanya.

AADK merekodkan sebanyak 155 kawasan berisiko tinggi (KBT) yang dikenal pasti sebagai zon masalah penagihan dan pengedaran dadah paling kronik di seluruh negara sejak 2021 hingga Februari tahun ini dengan Johor mencatatkan angka tertinggi iaitu 17 KBT diikuti masing-masing 15 KBT di Terengganu dan Kelantan.

Ulasan