PAN sepatutnya sokong pindahkan ladang babi


PAN sepatutnya sokong pindahkan ladang babi
April 19, 2025


TAPAH: Pemuda PAN sepatutnya menyokong cadangan atau tindakan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari kawasan yang terdapat atau didiami hampir 99 peratus penduduk Melayu-Islam.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, walaupun Perak merupakan negeri dengan penternakan babi terbesar di Malaysia, penduduk tidak seharusnya berdepan pencemaran bau dalam kehidupan harian mereka akibat daripada ladang berkenaan.

“DAP membantah gesaan untuk alihkan kandang babi yang dibangkitkan oleh Ustaz Hafez (ADUN Manjoi). Itu tidaklah rasa pelik. Tapi yang pelik apabila tiba-tiba Pemuda PAN Perak bangkitkan (pertikaian) apa yang PAS buat ketika menjadi pemerintah sebelum ini.

“Lebih memalukan (kepada Pemuda PAN) apabila Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad memaklumkan bahawa semasa PAS menjadi kerajaan pada tahun 2020 sehingga tahun 2022, sebanyak 34 kandang babi telah ditutup.

“Nampak sangat Pemuda PAN Perak tidak membuat ‘homework’ sebelum membuat kenyataan. Akhirnya memakan diri sendiri,” bidas beliau dalam satu kenyataan.

Tambah Khairul Faizi, PAN dilihat cuba ‘menjuarai’ isu berkenaan, selepas memainkan isu tauliah mengajar calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.

“Sepatutnya Pemuda PAN Perak buatlah kenyataan sokong supaya kandang babi dipindahkan dari mana-mana kawasan penduduk majoriti Melayu, tetapi lebih cenderung untuk menyerang PAS pula,” tempelaknya.

Pemuda PAN Perak, Khairol Najib Hashim baru-baru ini mendakwa tiada tindakan dilakukan oleh Pengerusi Pertanian, Perladangan, Industri Makanan dan Sekuriti Makanan, Razman Zakaria ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Beliau turut menasihatkan PAS supaya membuat kajian dan semakan fakta sebelum memainkan isu sensitif seperti ladang babi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. – HARAKAHDAILY 19/4/2025

Ulasan