PAN tak yakini calon BN hingga promosi calon PN?



PAN tak yakini calon BN hingga promosi calon PN?

Isu tauliah Ustaz Muhaimin serlah pihak lawan ketandusan idea
April 16, 2025

TAPAH: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan isu tauliah calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menyerlahkan lagi jasanya dalam menyampaikan risalah ilmu kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan berkata, Ustaz Muhaimin dikatakan memiliki tauliah mengajar sejak tahun 2014 lagi, sekali gus menafikan tohmahan yang dilakukan parti lawan.

“Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan terima kasih kepada pihak lawan yang bersungguh-sungguh mempromosi calon PN sehinggakan tauliah yang dimiliki Ustaz Muhaimin ini diakui sah oleh pihak PDRM sendiri.

“Apakah pihak PAN telah hilang keyakinan terhadap calon daripada BN sehingga mereka sanggup mempromosi calon PN?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, masih ada yang ‘alergik’ dengan para asatizah yang berjuang di lapangan politik sehingga sanggup menggunakan apa sahaja jalan untuk menjatuhkan Ustaz Muhaimin.

“Semoga Ustaz Muhaimin terus cekal memimpin perubahan di Ayer Kuning insya-Allah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Menurut beliau, Ustaz Muhaimin adalah keluaran Madrasah Tarbiah Kampung Sungai Gading, Tapah dan Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena sebelum melanjutkan pengajian di Syria.

“Ini bermaksud soal keilmuwan dan jasanya dalam menyampaikan kepada masyarakat setempat tidak lagi wajar dipersoal. Bahkan, inilah peluang kepada penduduk setempat untuk memastikan peranan dan jasa Ustaz Muhaimin diangkat sebagai wakil rakyat di DUN berkenaan.

“Pakej ini cukup untuk melengkapkan pilihan pengundi memilih calon No.2 dalam PRK Ayer Kuning insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Ulasan