
Pemanasan global kritikal, dunia di ambang krisis iklim
April 30, 2025
KUALA LUMPUR: Pemanasan global merupakan isu alam sekitar paling mendesak abad ini dan telah memberi kesan langsung terhadap kestabilan iklim dunia, kata Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Menurut beliau, pemanasan global bukan lagi satu andaian masa depan, sebaliknya realiti yang semakin meruncing dan merujuk kepada peningkatan suhu purata bumi akibat pelepasan gas rumah hijau berlebihan ke atmosfera.
“Antara gas utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah karbon dioksida (CO₂), metana (CH₄), klorofluorokarbon (CFC), karbon monoksida (CO), dan nitrus oksida (N₂O). Gas-gas ini memerangkap haba dari matahari menyebabkan suhu bumi terus meningkat,” katanya.
Menurut Khairul Faizi, peningkatan suhu itu berpunca daripada dua kategori utama iaitu aktiviti manusia dan faktor semula jadi seperti letusan gunung berapi, walaupun dalam skala yang lebih kecil.
Kesan pemanasan global; Iklim tidak lagi stabil
Katanya, salah satu kesan paling ketara daripada pemanasan global ialah perubahan corak iklim yang drastik seperti hujan lebat luar jangka, banjir besar, kemarau panjang dan ribut ekstrem.
“Suhu bumi secara global telah meningkat sebanyak 1.43 darjah Celcius (°C) berbanding tahap pra-industri – suatu lonjakan yang membawa kesan besar terhadap kesihatan manusia, khususnya strok haba dan masalah pernafasan.
“Kelembapan udara yang tinggi turut memperburuk keadaan. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu sebenar sekitar 34°C boleh terasa seperti 41°C apabila diambil kira dengan indeks haba.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam, malah menjejaskan produktiviti tenaga kerja dan meningkatkan permintaan tenaga elektrik,” jelasnya.
Beliau berkata, Malaysia telah mengalami bencana besar yang berkaitan dengan iklim seperti banjir besar di Johor pada Mac 2023 yang menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit dan menjejaskan lebih 70,000 penduduk.
“Tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022 pula mengorbankan 31 nyawa. Kedua-dua peristiwa ini memperlihatkan betapa gentingnya situasi apabila pembangunan tidak mengambil kira kelestarian alam.
“Penurunan hujan menjadi tidak menentu, banjir boleh berlaku pada waktu yang tidak dijangkakan seperti yang sedang kita alami ketika ini,” terangnya.
Pakar iklim suarakan kebimbangan
Beliau turut memetik pandangan pakar iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang yang berkata, pemanasan global mula menunjukkan peningkatan ketara sejak 2001 dan paras karbon dioksida kini mencecah 400 ppm.
Menurut Fredolin katanya, laporan Panel Antarabangsa mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mendapati sistem iklim bumi berada tidak seimbang, iaitu menerima lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan.
Turut dipetiknya daripada pakar geosains UKM, Prof Emeritus Dr Ibrahim Komoo menegaskan bahawa perubahan iklim kini berada pada tahap kritikal dengan pencairan glasier, paras laut meningkat dan cuaca ekstrem sebagai petanda kesan perubahan iklim sudah sampai tahap tidak boleh dikawal.
“Beliau (Dr Ibrahim) menyeru agar dasar dan polisi berkaitan perubahan iklim diarusperdanakan dalam pembangunan negara. Tanpa kesungguhan kerajaan dan kerjasama semua pihak, kita akan terus berdepan bencana yang lebih dahsyat,” terangnya.
Menurutnya lagi, Pensyarah UNIMAP, Prof Madya Dr Norazian Mohamed Noor menjelaskan bahawa suhu dan kelembapan tinggi bukan sahaja membahayakan nyawa, malah mengganggu hasil tanaman yang menyebabkan kerugian kepada petani serta menaikkan kos makanan.
“Bagi tempoh dari 1991 hingga 2020, laporan iklim tempatan menunjukkan bilangan hari panas melebihi 33°C meningkat sebanyak 20 peratus manakala kelembapan pula kekal tinggi,” katanya memetik contoh diberikan Norazian.
Khairul Faizi berkata, Norazian menjelaskan bahawa, ketika gelombang panas pada Mac 2024 lalu, Johor Baharu melaporkan suhu 34°C tetapi dengan kelembapan mencecah 85 peratus, dan indeks panas terasa seperti 41°C iaitu satu keadaan berbahaya untuk kesihatan manusia.
Tahu tapi tidak bertindak
Khairul Faizi berkata, walaupun kajian menunjukkan lebih 97 peratus rakyat Malaysia menyedari akan kewujudan perubahan iklim, kebanyakan mereka tidak tahu langkah yang boleh diambil secara individu atau komuniti.
“Lebih membimbangkan, banyak pihak berkuasa dan industri masih bersikap tidak peduli. Sungai terus dicemari, hutan ditebang secara rakus dan pelepasan karbon dari kilang sukar dikawal akibat kelemahan penguatkuasaan.
“Perubahan iklim bukan sekadar isu alam sekitar. Ia merupakan isu keselamatan, kesihatan, ekonomi dan keadilan sosial. Tanpa tindakan segera dan menyeluruh, generasi masa depan akan mewarisi dunia yang semakin sukar didiami,” terangnya.
Beliau berkata, antara langkah mitigasi dan adaptasi yang boleh diambil termasuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, menggalakkan amalan kitar semula, menghentikan pembalakan haram, menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan mendidik masyarakat tentang gaya hidup rendah karbon.
Tidak ada lagi pilihan
Katanya, data daripada World Meteorological Organization menunjukkan bahawa purata suhu global telah meningkat sebanyak 0.26°C dalam tempoh 2014 hingga 2023 – kadar terpantas pernah direkodkan.
“Ini seiring dengan peningkatan pelepasan karbon yang kini berada pada paras tertinggi dalam sejarah. Walaupun pelbagai rundingan iklim global seperti COP28 sedang berlangsung, pelaksanaannya masih lambat dan dipertikai.
“Masa untuk bertindak ialah sekarang. Kita tidak lagi boleh bersikap tunggu dan lihat. Pemanasan global berada di tahap kritikal dan tindakan kolektif adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan bumi daripada terus merana,” katanya.
Beliau mengingatkan pembaca bahawa faktor suhu di Cameron Highlands yang kini semakin kurang sejuk turut berkait rapat dengan isu pemanasan global. – HARAKAHDAILY 30/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan