Pemimpin PAS nafi cuba pengaruhi pilihan raya Singapura


Berita
Pemimpin PAS nafi cuba pengaruhi pilihan raya Singapura
Diterbitkan: Apr 26, 2025 2:57 PM

Dua pemimpin PAS menafikan tuduhan kerajaan Singapura yang mendakwa mereka cuba mempengaruhi pengundi republik itu menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan pada 3 Mei ini.

Tuduhan tersebut timbul selepas laporan media mengenai pihak berkuasa Singapura yang mengarahkan Meta untuk menyekat akses pengguna Singapura ke posting media sosial oleh tiga individu asing, yang didakwa cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya negara jiran itu.

Tiga individu terbabit Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad (gambar judul), Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dan seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zulfikar Mohamad Shariff — seorang bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.

Sukri memberitahu Malaysiakini dia menghormati kedaulatan Singapura dan undang-undangnya, serta menegaskan dia tidak pernah cuba campur tangan dalam proses demokrasi negara itu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar.

Namun, dia mempertahankan hantarannya mengenai isu umat Melayu Islam di Singapur, mengatakan dia sekadar bersuara selaku insan prihatin.

"Saya tidak pernah berniat untuk campur tangan dalam proses demokrasi negara itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Kedua, kebimbangan dan mesej saya bukan untuk campur tangan dalam pilihan raya mereka tetapi adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral saya sebagai manusia yang prihatin tentang situasi umat Melayu-Muslim di Singapura, yang semakin terdesak dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi dan kebebasan budaya.

"Ketiga, hak untuk mempertahankan keadilan, martabat dan masa depan sesuatu kaum bukanlah bentuk 'campur tangan asing' apabila ia dilakukan dengan 'adab', prinsip dan kasih sayang terhadap kemanusiaan, tanpa sebarang paksaan atau hasutan terhadap mana-mana parti politik asing," kata Sukri.


Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan Jabatan Pilihan Raya, kerajaan republik itu "mengenal pasti beberapa individu asing yang cuba mempengaruhi PRU (pilihan raya umum) ini" dan mengeluarkan "Arahan Pembetulan" kepada Meta untuk menyekat akses kepada posting mereka.

Pihak berkuasa SIngapura itu berkata Zulfikar, yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020, "telah menuduh beberapa Ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan komuniti Muslim, dan mengatakan komuniti Muslim tempatan tidak memerlukan seorang Ahli Parlimen Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka."

Pihak berkuasa Singapura juga mengatakan Sukri telah memuat semula posting Zulfikar. Sementara itu, Iskandar disekat kerana menyatakan sokongan kepada seorang calon dalam pilihan raya tersebut.

"Kandungan posting ini menyasarkan rakyat Singapura. Ia mencampuri politik domestik kami, yang hanya untuk rakyat kami. Ia juga menggesa rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan kaum dan agama, dan telah membawa kepada lebih banyak posting media sosial yang serupa.

"Semua ini berpotensi memecahbelahkan keharmonian pelbagai kaum dan agama yang menjadi asas negara kami," kata kenyataan awam itu.

Sementara itu, Iskandar (gambar atas) dalam kenyataan berasingan berkata dia terkejut terhadap tuduhan pihak berkuasa Singapura terhadapnya.

Pemimpin senior PAS itu berkata dia hanya memuat naik mengenai beberapa calon Muslim yang mengambil bahagian dalam pilihan raya, termasuk seorang calon daripada parti pemerintah PAP.

"Saya hanya melaporkan mengenai beberapa calon Muslim terkenal dari parti pembangkang yang mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Undi ikut kaum, agama

"Saya juga memuat naik video seorang calon Muslim muda dari PAP yang memperkenalkan dirinya kepada pengundi. Memandangkan majoriti rakan Facebook dan pengikut saya adalah Melayu Muslim, posting ini pasti menarik minat mereka.

"Walaupun beberapa posting itu dalam bahasa Inggeris, ia adalah untuk penggunaan tempatan Malaysia dan bukan untuk pengundi di seberang Tambak," katanya.

Menjelaskan lanjut, Iskandar juga menafikan dia menggesa pengundi Singapura untuk memilih berdasarkan garis kaum dan agama, walaupun dia menyatakan harapan untuk melihat beberapa calon Muslim menang.

Katanya, dia juga tidak mengenali mana-mana calon tersebut secara peribadi dan satu-satunya ahli politik Singapura yang pernah ditemui daripada PAP, termasuk menteri dan ahli parlimen parti itu.

Iskandar menegaskan seorang ahli politik, dia tidak seharusnya dipersalahkan kerana mempunyai minat terhadap perkembangan politik di negara lain.

"Saya telah banyak menulis tentang perkembangan politik di UK dan mengharapkan kemenangan Parti Buruh pada pilihan raya umum yang lalu.

"Namun, adalah tidak masuk akal untuk menuduh saya campur tangan dalam proses pilihan raya negara itu. Saya juga telah memberi komen mengenai politik negara lain tanpa sebarang kesan," katanya.

Dalam perkembangan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan setiap individu mempunyai hak untuk mengulas politik negara lain jika analisis mereka itu tepat.

Dia merujuk kepada pilihan raya di Amerika Syarikat berkata ramai penganalisis antarabangsa mengulas isu politik di sana, sementara presiden Donald Trump berdepan dengan pelbagai analisis dan kritikan.

Pada masa sama, parti pembangkang terbesar Singapura, Parti Pekerja menegaskan tidak membuat sebarang komitmen dengan mana-mana individu untuk mendapatkan sokongan politik.

Parti itu pada satu kenyataan menjelaskan pihaknya tidak mempunyai kawalan ke atas sokongan asing terhadap calon-calon mereka.

Ulasan