
Pencemaran najis babi: Kerajaan negeri lepas tangan
April 24, 2025
TAPAH: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan rasa kesal terhadap sikap sindrom penafian dan lepas tangan serta tidak profesional kerajaan negeri dalam menjawab isu ladang babi.
Timbalan Ketuanya, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, rungutan ketidakselesaan dan pencemaran air sungai sekitar Ayer Kuning daripada rakyat tempatan mempunyai bukti kukuh menerusi pendedahan terbaru yang dilakukan PERIKATAN NASIONAL Perak.
“Walaupun Exco Negeri Perak, Sivanesan Achalingam beberapa kali menafikan perkara ini dan menyatakan semua ladang babi bertepatan dengan garis panduan yang ditetapkan.
“Namun bukti lapangan daripada PN mendapati adanya pembuangan sisa babi langsung ke Sungai Bidor dan didapati terkandung bendasing daripada sisa babi dalam sampel air sungai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih malang, tambah Ahli Dewan Negeri (ADUN) Manjoi itu, lebih 50,000 penduduk di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air selama hampir dua minggu pada Februari lalu.
Insiden itu telah memaksa sebahagian besar mereka menggunakan air sungai berdekatan sebagai alternatif untuk mandi, memasak, mengambil wuduk dan keperluan asas lain.
“Persoalan besar yang kerajaan perlu jawab adalah bukankah babi begitu sensitif kepada umat Islam, apatah lagi jika terkandung sisanya dalam air untuk berwuduk?
“Apakah Kerajaan Perak serius membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam di Perak? Apakah kerajaan Perak tidak bimbang akan nasib kesihatan dan keselamatan awam rakyat dalam negeri Perak?” soalnya.
Justeru, beliau menuntut kerajaan negeri untuk melakukan siasatan bebas segera dijalankan terhadap semua ladang babi di sekitar Sungai Bidor, dengan laporan penuh didedahkan kepada umum.
Selain penilaian semula lesen operasi ladang-ladang berdekatan kawasan tadahan air atau perkampungan majoriti Melayu dan mengambil tindakan tegas kepada pemilik ladang haram dan ladang yang melanggar garis panduan ditetapkan.
“Kerajaan negeri perlu mendedahkan laporan pemantauan kualiti air oleh Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Air Perak sepanjang tahun 2025.
“Mohon maaf secara terbuka kepada rakyat atas ketiadaan air selama 2 minggu pada Februari lalu serta penafian wujudnya pencemaran yang dibuat tanpa siasatan menyeluruh.
“Dalam menangani isu dan memperjuangkan rakyat tempatan, Pemuda PAS menyarankan kepada pengundi Ayer Kuning pada hari Sabtu nanti.
“Ustaz Muhaimin tiada sebab untuk berdiam diri dalam memperjuangkan nasib rakyat Ayer Kuning kerana beliau tiada sebarang kepentingan dan terhutang budi kepada mana-mana pihak jika beliau diberi mandat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan