
Pengundi diberikan pesanan dengan nada talkin
PRK DUN N.48 Ayer Kuning
April 24, 2025
TAPAH: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menarik perhatian ramai apabila menyampaikan pesanan seperti bacaan talkin yang diungkapkan sempena Ceramah Grand Finale PN PRK DUN N.48 Ayer Kuning di Taman Golf, Bidor, di sini hari ini.
“Wahai pengundi DUN Ayer Kuning, apabila datang kepada kamu pemimpin-pemimpin UmDAP, maka hendaklah kamu jangan gentar dan takut. Jawablah dengan lidah yang fasih, kerana mereka hanyalah insan biasa sepertimana kamu.
“Sesungguhnya kerjasama antara Umno dengan DAP itu adalah benar. Sesungguhnya slogan ‘UmDAP mantap’, ‘UmDAP mantap’ bergema di PRK Ayer Kuning adalah benar. Sesungguhnya ahli Umno ditipu dengan slogan ‘No Anwar No DAP’ adalah benar.
“Sesungguhnya pangkah Umno-BN dapat DAP adalah benar. Sesungguhnya kewujudan kandang babi yang mencemarkan Sungai Bidor adalah benar. Sesungguhnya harga minyak tidak turun RM1.50 adalah benar.
“Sesungguhnya diesel naik RM1.20 daripada RM2.15 kepada RM3.35 adalah benar. Sesungguhnya harga petrol akan naik adalah benar. Sesungguhnya janji mengatakan harga barang akan turun tetapi masih tidak turun adalah benar.
“Sesungguhnya pemilihan parti PKR sedang bergolak adalah benar. Sesungguhnya ladang haram musang king di Raub adalah benar. Sesungguhnya MP DAP mempertahankan pencerobohan ladang Musang King haram adalah benar.
“Sesungguhnya kejadian bendera tanpa Bulan Sabit itu adalah benar. Sesungguhnya penggunaan jentera kerajaan adalah benar,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK DUN N.48 Ayer Kuning.
Beliau sehubungan itu dengan nada sama juga mengajak para pengundi yang akan berada berseorangan di tempat mengundi untuk membuang undi di kotak undi agar berbekalkan ilmu, pengetahuan dan semangat, maka pangkah lah dengan tenang.
Menurut beliau, dengan mengundi calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek iaitu calon Nombor 2 dan mencapai kemenangan, DUN Ayer Kuning akan memiliki wakil rakyat dengan nafas, azam, tekad dan kemahuan baru.
Turut bersama adalah Timbalan Pengerusi PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut dan Ustaz Muhaimin serta ramai lagi pimpinan parti-parti komponen PN. – HARAKAHDAILY 24/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan