
Perkukuhkan kuasa Islam di Malaysia untuk selamatkan negara
April 6, 2025
KEDATANGAN Islam di Nusantara dengan sempurna, berdaulat dan berkuasa memerintah negara. Apabila raja-raja dan rakyat menganut Islam, hanya segelintir sahaja yang masih beragama bukan Islam kerana konsep tiada paksaan untuk memeluk Islam.
Rasulullah SAW mengekalkan raja-raja yang menganut Islam dengan memperkenal konsep Raja Berperlembagaan bersama gabungan yang dinamakan ulu al-amr (umara’ dan ulama’). Perkara ini berpandukan firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, hendaklah kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulu al-amr antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]
Konsep adil kepada seluruh manusia telah berjaya sehingga Islam dan bangsa Melayu diterima memimpin masyarakat majmuk bagi menegakkan negaranya yang berdaulat.
Islam tetap berkembang, sehingga ramai kalangan yang memeluk Islam kerana jasanya adil kepada semua. Malah, menarik semua kalangan kepada Islam dan meninggalkan agama yang telah dianuti sebelumnya.
Maka, Nusantara ialah wilayah Islam khususnya negara Malaysia, maka kedudukan Islam di negara ini wajib dipertahankan.
Catatan sejarah yang ditulis dan dipahat menjadi bukti yang nyata kepada kedudukan Islam, haknya yang sah bernegara dan daulat berkuasa sehingga dilaksanakan hukumnya dengan sempurna.
Pada era kelemahan sehingga hilangnya kuasa besar Islam yang bernegara, disebabkan kelalaian pemerintahan yang mengambil umur beberapa abad dan terlalu luas wilayahnya. Bahkan, juga disebabkan oleh kedatangan generasi baharu yang ramai dalam kalangan mereka itu jahil bersama kepimpinan yang ketinggalan dari sudut ilmu dan lemah pegangan agamanya, serta berlaku pula perpecahan dalaman yang memberi ruang kepada musuh masuk menjajah. Namun, Islam tetap dianut, sehingga pada zaman penjajah mereka menolak campur tangan penjajah dan usaha memurtadkan penganut Islam juga gagal dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, umat Islam tidak menyerah kalah dan meneruskan perjuangan menentang penjajah di rantau ini, dipelopori oleh kumpulan Islam yang melibatkan para ulama’ dan raja-raja yang memimpin rakyat menentang penjajah, sehinggakan ada kalangan mereka yang telah gugur syahid dan mati di dalam penjara serta dibuang ke luar negeri.
Di Malaysia, negara ini mencapai kejayaan awal dalam rundingan kemerdekaan apabila berjaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bersama hak istimewa Melayu Islam dan juga bumiputera, disertakan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan sekali gus mengukuhkan kedudukan Islam yang wajib dipertahankan. Raja-raja dikekalkan tetapi dilucutkan kedaulatannya dengan penipuan slogan konsep Daulat Tuanku yang sering diucapkan dan ditulis, dengan dilucutkan kuasanya di bawah perlembagaan sekular.
Penerimaan kalangan bukan Islam yang dibawa masuk oleh puak penjajah, sehingga diterima menjadi warganegara adalah melaksanakan mesej kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Islam, begitu juga hak beragama bukan Islam berkonsepkan tiada paksaan dalam beragama yang dibawa oleh Islam. Kedudukan warga pendatang bersama masyarakat majmuk yang aman sangat berbeza dengan kedudukan minoriti penganut Islam di negara lain yang bukan Islam, di mana penganut Islam dizalimi walaupun mereka juga merupakan penduduk asal.
Maka, adanya perjuangan yang mahu meminggirkan Islam mutakhir ini merupakan suatu bentuk pengkhianatan yang dibawa oleh beberapa buah parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hendaklah ditentang dan dihapuskan kerana boleh merosakkan negara dan hubungan masyarakat kini yang berada dalam keadaan baik. Tindakan melampau tidak mengenang budi umat Islam terhadap mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar.
Usaha untuk meminggirkan Islam, melemahkan kedudukannya, bahkan juga mahu memurtadkannya merupakan perancangan penjajah yang telah dilaksanakan ketika kekuasaannya dahulu. Maka, kumpulan yang meneruskan perancangan penjajah itu ialah makhluk perosak yang wajib diharamkan, kecuali bukan Islam yang tidak ekstrem maka mereka tetap dihormati dan dipelihara.
Adanya makhluk perosak yang merancang dan memperjuangkan berbagai-bagai ideologi dan pendekatan merupakan musuh Islam yang terus menerus berjuang menentang Islam serta umatnya secara terbuka, malah berterusan melalui pelbagai pendekatan politik, ekonomi dan media. Hal ini termasuk dalam amaran Allah SWT melalui firman-Nya:
…وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧
“…Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Baqarah: 217]
Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah berdaulat memerintah negara masyarakat majmuk yang paling berjaya dalam sejarah dunia, mewajibkan manusia mentadbir urusan dunia dengan petunjuk ajaran Islam yang sempurna. Perkara inilah yang menjadi perjuangan para anbiya’ sejak Nabi Adam AS lagi.
Nabi Nuh AS menjadi rasul pertama yang menghadapi kezaliman syirik, apabila dilantik makhluk menjadi tuhan selain daripada Allah dalam urusan ibadat dan urusan kehidupan manusia, juga menjadi punca manusia menolak syariat Allah. Firman Allah SWT:
أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]
Kedatangan penjajah yang merampas tanah air, kemudiannya memasukkan ajaran sesat yang menghapuskan kedaulatan Islam dan umatnya, ditolak oleh umat Islam. Bahkan, penjajah juga gagal memurtadkan umat Islam. Sebaliknya, Islam terus berkembang dalam kalangan bukan Islam.
Penjajah melakukan pendekatan yang cuba melemahkan pegangan agama dalam kalangan umat Islam melalui cara halus yang merosakkan.
Allah mewajibkan Islam itu berkuasa mengatasi segala agama yang lain berkonsepkan tiada paksaan beragama Islam terhadap mereka. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama-agama, meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
Islam diwajibkan memerintah dengan menegakkan syiar dan ajarannya, mengatasi semua agama dan ideologi yang lain. Kenyataan warisan penjajah dalam Perlembagaan Persekutuan yang merendah-rendahkan kuasa Islam hendaklah dibatalkan dan ditukar semula bahawa hukum Islam sahaja dapat membatalkan hukum ciptaan yang tidak diizinkan oleh Allah melalui perintah-Nya.
Firman Allah SWT:
…وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“…Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40-41]
Allah mewajibkan umat Islam mempertahankan ketinggian Islam, menolak mereka yang merendahkan kedudukan Islam kerana kelompok itu ialah pengkhianat yang cuba merosakkan masyarakat majmuk kerana Islam sahaja agama yang boleh memerintah secara adil kepada semua.
Allah menghukum sifat munafiq terhadap orang yang mengaku Islam dan hanya menumpang kemenangan untuk berkuasa bersandarkan wala’ kepada musuh Islam. Firman Allah SWT:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan adalah kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138-139]
Allah juga memberi amaran kepada kalangan munafiq yang mencari kesempatan bersama musuh Islam melalui firman-Nya:
ٱلَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمۡ فَإِن كَانَ لَكُمۡ فَتۡحٞ مِّنَ ٱللَّهِ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَكُن مَّعَكُمۡ وَإِن كَانَ لِلۡكَٰفِرِينَ نَصِيبٞ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَسۡتَحۡوِذۡ عَلَيۡكُمۡ وَنَمۡنَعۡكُم مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا ١٤١
“(Iaitu) orang-orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (wahai orang-orang Mukmin). Maka, jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, lalu mereka berkata, ‘Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?’ Dan jika orang-orang kafir mendapat keberuntungan (kemenangan) mereka berkata, ‘Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang Mukmin?’ Maka, Allah akan memberi keputusan antara kamu pada Hari Kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” [Surah al-Nisa’: 141]
Muncul dalam kalangan mereka kalangan yang menganut Islam dan mengadakan kumpulan berjenama Islam, tetapi semuanya diperalatkan oleh musuh bagi merampas kuasa dengan melemahkan umat Islam dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Namun, Islam tetap mendahulukan konsep damai tanpa paksaan terhadap bukan Islam untuk memeluk Islam dan melarang perkara yang merosakkan hubungan dengan mereka. Firman Allah SWT:
وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian, kepada Tuhan merekalah mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” [Surah al-An‘am: 108]
Kalangan bukan Islam pula diwajibkan menjaga sempadan yang tidak bermusuh terhadap umat Islam mengikut ketetapan Allah, sebagaimana firman-Nya:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Semua perkara yang mengancam Islam, sama ada melalui cara menegakkan syiar yang melampau seperti mendirikan rumah ibadat tanpa sempadan yang menyalahi undang-undang dan adab menjaga hubungan, mahupun langkah berpolitik untuk merampas kuasa politik dan usaha melemahkan umat Islam dengan segala cara serta lapangan.
Islam tetap memerintahkan penganutnya agar mendahulukan perdamaian dalam hubungan sesama bukan Islam, walaupun ketika berperang. Firman Allah SWT:
۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61-63]
Namun, umat Islam tetap menentukan kesabarannya mengikut sempadan yang tidak merendahkan Islam serta tidak menghina dan menjatuhkan kedaulatannya.
Semua kalangan umat Islam, bermula daripada rakyat sehinggalah raja-raja dan para pemimpin wajib bersuara serta bertindak untuk mempertahankan kemuliaan Islam dan kuasa kedaulatannya yang menjadi amanah besar daripada Allah. Amatlah berdosa besar, sekiranya ia tidak ditunaikan.
Kini, kita dikatakan telah merdeka daripada penjajah, tetapi ajaran penjajah yang sesat dan langkah menentang Islam masih wujud dengan dukungan warga asing yang diberikan kerakyatan. Begitu juga, umat Islam yang telah disesatkan dalam mempertahankan ajaran yang sesat itu. Allah memberi amaran melalui firman-Nya:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يُدَٰفِعُ عَنِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٖ كَفُورٍ ٣٨
“Sesungguhnya, Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari ni‘mat.” [Surah al-Hajj: 38]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Syawwal 1446 / 6 April 2025
[Bil: 23 / 2025] - HARAKAHDAILY 6/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan