
Pertandingan hias pulut meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan
06 April 2025 01:37pm
Masa membaca: 1 minit
Wan Roslan (tengah) bersama kepimpinan Pas Kelantan semasa sidang media Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Ahad.
KOTA BHARU- Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Sultan Muhammad IV pada Khamis ini akan dimeriahkan dengan pertandingan menghias pulut hijau dan putih.
Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pemenang pertandingan tersebut akan menerima piala dan wang tunai.
Menurutnya, pulut akan disediakan oleh penganjur, manakala peserta hanya perlu menghias mengikut kreativiti masing-masing.
“Selain pertandingan hias pulut, acara lain termasuk pertandingan teh tarik untuk anak muda dan gerai tercantik. Majlis ini dianggarkan akan dihadiri oleh 50,000 tetamu,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV pada Ahad.
Majlis Rumah Terbuka itu dijadual bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada 2 petang.
Menurut Wan Roslan, pemimpin utama Pas dan rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka hadir memeriahkan majlis.
“Orang ramai turut dijemput hadir untuk memeriahkan majlis ini,” katanya
Ulasan
Catat Ulasan