
‘Perubahan besar bakal berlaku di DUN Ayer Kuning’
April 22, 2025
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek menzahirkan keyakinan bahawa satu perubahan besar dan bersejarah bakal berlaku di kawasan itu hasil daripada gelombang rakyat yang sedang berlangsung.
“Saya yakin dan percaya ada perubahan besar, ada perubahan besar atau tidak tapi bersejarah, Insya-Allah,” katanya dalam sidang media harian PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning, di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Penang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff; Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.
Ustaz Muhaimin berkata, keyakinan itu hadir setelah beliau bersama jentera turun padang menyantuni serta mendengar rintihan rakyat secara langsung dari hati ke hati di seluruh lokaliti DUN berkenaan.
“Alhamdulillah saya dan juga jentera telah pun menyantuni dan juga mendengar rintihan rakyat dari hati ke hati. Kita dah melawat hampir semua semua UDM, kita dah turun dan kita telah berjumpa dengan lebih daripada 80 peratus pengundi di DUN Ayer Kuning, Insya-Allah,” katanya.
Menurut beliau, tekad yang dibawa oleh pihaknya lahir daripada suara rakyat yang mereka temui ketika lawatan ke kampung-kampung dan lokasi setempat.
“Hasil tekad kita ni pun hasil daripada rintihan dan juga suara-suara rakyatlah. Bila kita turun ke ‘grassroot’, kita turun melihat ke kampung-kampung, ke lokasi, ke lokaliti-lokaliti.
“Mereka mengadu tentang isu keselamatan, isu alam sekitar, isu jalan rosak, isu longkang sumbat, isu sampah dan sebagainya melibatkan alam sekitar, kesihatan dan berapa isu-isu lain ada kepentingan-kepentingan untuk anak-anak muda dan sebagainya.
“Kita dapat semua nilah daripada rintihan rakyat di bawah, Alhamdulillah. Dan malahan apa yang kita dengar ni benda yang telah pun lama berlaku yang belum dapat diselesaikan lagi ataupun diselesaikan separuh masak, separuh jalan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru anak-anak perantau agar pulang mengundi demi merealisasikan perubahan yang dihasratkan rakyat.
“Kita merayulah sebenarnya kan untuk mereka balik mengundi kan. Jadi insya-Allahlah hasil daripada kempen-kempen kita kepada ibu bapa yang ada di sini, mereka memberikan komitmen untuk anak-anak mereka balik mengundi di sini, Insya-Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kesediaan jentera PN untuk menggerakkan keseluruhan kekuatan, termasuk dirinya sendiri dan media, bagi menyampaikan tawaran ‘TEKAD’ yang dihasratkan kepada rakyat Ayer Kuning.
“Kita akan gunakan seluruh jentera yang ada. Jentera yang ada termasuk diri saya, termasuk media-media kita. Kita akan guna seluruhnya untuk menyampaikan ‘TEKAD’ kita ini.
“Dan saya secara personal, saya akan gunakan hati saya untuk menyentuh hati mereka untuk merealisasikan tekad ini.
“Gelombang rakyat, Insya-Allah. Gelombang rakyat kita sedang menyaksikan akan ada perubahan, Insya-Allah. Kita akan menyaksikan akan ada perubahan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ustaz Muhaimin apabila ditanya berkenaan antara tawaran ‘TEKAD’, beliau berkata bahawa pihaknya akan mewujudkan satu saluran khas bagi menguruskan isu-isu tanah yang telah lama terbengkalai.
“Kita akan adakan seorang PIC ataupun wujudkan satu saluran khas untuk melihat isu-isu tanah yang sedang terbengkalai sejak daripada dulu, kan, yang kita dapat maklumat, yang kita dapat rintihan sendiri daripada para pengusaha, kan.
“Jadi kita fikir isu tanah ni isu yang lama dan besar. Kita perlukan ada satu saluran khas untuk menguruskan hal ni. Kita sebagai pemudah cara, pemudah cara dalam isu tanah ni, Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan