PETRONAS bukan milik PKR, jangan dikambinghitamkan



PETRONAS bukan milik PKR, jangan dikambinghitamkan

Apa istimewa syarikat terlibat insiden Putra Heights tidak munculkan diri?
April 9, 2025

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berhasrat melihat agar semua mangsa insiden Putra Heights dapat diberikan pampasan sepenuhnya.

Kata beliau, jika rumah mangsa hancur sepenuhnya, maka sebaiknya mendapat rumah baru dibina di atas tanah asal dengan perabutnya sekali dan kalau kereta terbakar, perlu digantikan kereta baru dari jenis dan model yang sama.

“Kalau ada yang tercedera, maka perlu diberi pampasan kewangan. Siapa kena tanggung ganti rugi ni?” ujarnya melontarkan persoalan dan merujuk surat agensi Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) kepada pemilik projek Hong & Hong Homes Sdn Bhd bertarikh 7 Oktober 2024.

Menurut petikan butiran berkenaan kes ada menyatakan bahawa pihak penyedia utiliti perlu bertanggungjawab sekiranya terdapat kerosakan jalan atau harta awam yang disebabkan oleh aktiviti pengorekan dan pemasangan utiliti bawah tanah tersebut.

“Jangan keliru, utiliti bawah tanah tu bukan paip gas PETRONAS. Kerja korekan tu adalah nak pasang paip pembentungan oleh kontraktor Pinterest Ventures Sdn Bhd dan sub-kontraktor mereka. Dalam proses tu berlaku insiden tu.

“Makanya ikut surat tu, kontraktor dan sub-kontraktor kena bertanggungjawab. Tetiba ada orang hantar ‘printscreen’ MB Selangor kata Kerajaan Persekutuan atau PETRONAS dan Kerajaan Negeri Selangor akan baiki semula.

“Eh kejap, kenapa PETRONAS? Bukankah dalam surat KUSEL kata penyedia utiliti. Aku ‘check’ sidang media MB yang terbaru. Sah memang MB Selangor sebut PETRONAS. Aku boleh terima kalau PETRONAS nak buat CSR dan bantu mangsa yang terlibat.

“Tapi yang aku peliknya mana pemilik projek Hong & Hong Homes Sdn Bhd? Mana kontaktor Pineterest Ventures? Mana sub-kontraktor mereka (yang dirahsiakan namanya)?” persoal beliau.

Nurul Islam turut mengingatkan bahawa PETRONAS juga adalah mangsa dalam insiden tersebut dan mereka bakal berdepan dengan kerugian operasi penghantaran gas dan juga baik pulih paip gas tersebut yang bakal mencecah puluhan malah ratusan juta.

“PETRONAS adalah aset negara bukan syarikat milik PKR. Jangan sewenang-wenangnya suruh PETRONAS bayar itu dan ini. Kejar ‘culprit’ yang sebenarnya bukan kambing hitamkan PETRONAS.

“Aku teringat masa kejadian gempa bumi sehingga berlaku kebocoran loji nuklear kat Fukushima (Jepun). Walaupun ianya berlaku disebabkan gempa bumi, syarikat pengendali loji tampil dan buat permohonan maaf umum (public apology).

“Begitu juga ketika berlaku kemalangan di pelantar minyak BHP menyebabkan berlaku tumpahan minyak yang amat dasyat di Gulf of Mexico. CEO BHP tampil dan minta maaf di khalayak ramai,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan ‘keistimewaan’ pemilik projek, kontraktor dan sub-kontraktor projek di Putra Height yang hingga hari ni tidak muncul di khalayak ramai menyebabkan rakyat Selangor semakin curiga kepada syarikat-syarikat ini.

“Kenapa macam melarikan diri? Soalan kenapa KUSEL dan MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) luluskan permit korekan kepada syarikat disenarai hitam oleh CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) pun sampai hari ini MB tak berani jawab,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

Ulasan