
PN tawar ‘TEKAD Muhaimin’ untuk DUN Ayer Kuning
April 22, 2025
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek memperkenalkan ‘TEKAD Muhaimin untuk rakyat Ayer Kuning’ sebagai tawaran rasmi PN kepada pengundi.
Menurut beliau, selepas menelusuri seluruh lokaliti di Ayer Kuning dan menyantuni rakyat bersama jentera parti, pihaknya mengenal pasti pelbagai isu mendesak yang perlu diselesaikan segera, antaranya berkaitan kesihatan, ekonomi, kebajikan, infrastruktur dan suara rakyat.
“TEKAD ini ialah singkatan kepada lima fokus utama, iaitu Tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar; Ekonomi rakyat dan usahawan diperkasa; Khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian; Akses kemudahan dan infrastruktur dipertingkat; serta Dengar keluhan dan suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata, bagi aspek kesihatan dan alam sekitar, antara ditawarkan adalah memperjuangkan isu pencemaran yang menjejaskan kesihatan, mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) menaik taraf sistem sisa pepejal, menghapuskan ladang babi haram serta mempromosi penggunaan teknologi hijau dalam sektor penternakan dan pertanian.

Dari segi ekonomi rakyat, beliau menawarkan latihan asas keusahawanan, bantuan penghubung kepada saluran kewangan kerajaan, bengkel pemasaran digital serta inisiatif jenama komuniti ‘Buatan Ayer Kuning’.
“Bagi khidmat masyarakat pula, saya akan tubuhkan dua pusat khidmat rakyat – satu tetap dan satu bergerak, selain mempergiat program sukarelawan anak muda, mewujudkan saluran bantuan kecemasan komuniti dan pusat sehenti aduan kebajikan.

“Kita juga akan memupuk keharmonian antara kaum, serta memperluaskan pengajian agama dan pembangunan fardu ain melalui NGO dan tenaga tempatan,” katanya mengulas inisiatif dalam lima teras utama tersebut.
Mengulas aspek infrastruktur, beliau komited memperjuangkan isu liputan internet dan pencahayaan jalan, menyelaras aduan awam kepada agensi, serta merancang pembinaan trek belia, pembinaan Masjid Kampung Batu Masjid dan baik pulih masjid serta pasar awam melalui kerjasama NGO, koperasi dan kerajaan.

Bagi menjamin suara rakyat terus kedengaran, beliau menawarkan saluran khas isu tanah, menjadi suara rakyat di DUN, menolak dasar membebankan seperti pemotongan subsidi serta membentangkan laporan tahunan ADUN kepada umum.

“Kami menawarkan TEKAD kepada seluruh rakyat Ayer Kuning dengan harapan rakyat Ayer Kuning memberikan peluang kepada PERIKATAN NASIONAL untuk melaksanakan seluruh tawaran-tawaran yang telah disebutkan tadi.
“Marilah sama-sama kita merealisasikan tawaran TEKAD ini dengan membuang undi pada pengundian awal 22 April dan 26 April ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan