Prestasi pengadilan Razlan pada tahap baik - FAM
Oleh Zulfaizan Mansor - April 28, 2025 @ 4:46pm
Pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali ketika mengendalikan final Piala Malaysia 2024-2025 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merumuskan bahawa prestasi Razlan Joffri Ali ketika mengadili aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang, Sabtu lalu pada tahap baik.
Badan induk itu turut menjelaskan bahawa beberapa keputusan penting dibuat pengadil berkenaan pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu juga adalah tepat.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram memaklumkan, kesimpulan itu dibuat selepas meneliti laporan Penilai Pengadil serta analisis oleh Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.
Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa Razlan mengendalikan aksi itu dengan prestasi baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.
Disyorkan
"Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan kad kuning kedua (perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi Undang-undang Permainan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) 2024/2025.
"Keputusan penalti yang diberikan kepada pasukan JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan ofsaid adalah tepat.
"Setiap insiden dalam permainan itu sudah disemak dengan tepat oleh pengadil VAR (video bantuan pengadil) dan tahap pematuhan 'Protocol VAR' adalah sangat cemerlang," katanya.
Sebelum ini, segelintir peminat bola sepak tanah air mempertikai mutu pengadilan Razlan dalam perlawanan akhir yang berkesudahan JDT mencipta kemenangan 2-1.
Selain itu, Sivasundaram turut membuat kesimpulan bahawa setiap 'key match incident' dalam perlawanan berkenaan sudah diadili dengan tepat mengikut undang-undang permainan FIFA.
"Lumrah manusia yang mana tidak lari daripada kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan itu.
"Kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan ia ditentukan oleh pasukan itu sendiri. FAM sangat komited dengan mutu prestasi pengadil dan FAM tidak pernah berkompromi dalam hal mutu pengadil," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan