PRK Ayer Kuning: Peluang pengundi lakukan perubahan
April 12, 2025
Abdul Muhaimin (tengah) dan isterinya. (FOTO: HARAKAHDAILY/Amirun Izzat Amran)
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menyifatkan penyertaannya sebagai permulaan yang sangat baik dan penuh semangat.
Abdul Muhaimin, 44, berkata beliau menaruh harapan tinggi agar dapat meraih kemenangan dalam PRK berkenaan demi membawa perubahan positif kepada penduduk Ayer Kuning.
“Saya melihat ini sebagai satu permulaan yang sangat baik dan penuh keterujaan. Justeru, saya amat mengharapkan PN mendapat kemenangan dalam PRK ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji selepas Penamaan Calon, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi PN Tapah, turut menyeru para pengundi di kawasan tersebut agar memberikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL untuk menerajui kepimpinan DUN Ayer Kuning.
“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Ayer Kuning agar memberi peluang kepada kami, PERIKATAN NASIONAL untuk menerajui kawasan ini. Insya-Allah, dengan kekuatan dan kudrat yang ada, kami akan berusaha sedaya upaya membantu rakyat di sini,” katanya.
Abdul Muhaimin turut menzahirkan komitmennya untuk mendekati serta menyantuni masyarakat setempat sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.
“Harapan saya adalah untuk menyantuni setiap pengundi di seluruh DUN Ayer Kuning, mendengar suara mereka dan bersama-sama membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini
Selain Muhaimin, ia membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah, 54 dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – HARAKAHDAILY 12/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan