PRK Ayer Kuning: Seru pilih calon PN, wajar tolak PH
April 12, 2025
Wan Badariah (memegang panji) bersama Wanita PN dari Perlis di perarakan Penamaan Calon hari ini
TAPAH: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, wajar membuat perubahan sebagai signal menolak Pakatan Harapan (PH) berikutan pelbagai isu yang timbul di era pimpinan Kerajaan Madani, ketika ini.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Said berkata, contohnya berlaku isu-isu berkaitan bangsa, agama dan lain yang gagal ditangani pemimpin negara baik.
“Saya yakin rakyat kini sudah cerdik untuk menilai, pemimpin mana yang akan dipilih.
“Calon yang diketengahkan oleh PERIKATAN NASIONAL (PN), iaitu Ustaz Abdul Muhaimin Malek, adalah seorang yang berpengalaman luas dan banyak memberi khidmat kepada masyarakat.
“(Dan) pastinya beliau mampu menjadi wakil rakyat yang berwibawa membawa masalah rakyat ke peringkat sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui Harakahdaily pada perarakan penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning, di pekarangan Dewan Merdeka, Tapah, di sini hari ini.
Tambahan pula, jelas Badariah lagi, pemimpin PN juga bersih dan perjuangan jelas iaitu membawa kemakmuran kepada rakyat.
Sementara ujarnya lagi, dengan masalah kos sara hidup terpaksa ditanggung oleh rakyat, termasuk harga barangan keperluan yang melambung naik, di manakah lagi sandaran untuk menjadikan PH sebagai pilihan.
“Harap pengundi dapat buka mata, hanya pemimpin PN yang bersih dan membawa perjuangan yang betul serta menangani masalah rakyat.
“Oleh itu, saya berharap pakat-pakat sokong PN dengan memberi kemenangan kepada calon PN pada PRK ini,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan