
PRN Sabah: Shahelmey dalam dilema besar
Oleh Izwan Abdullah - Mac 27, 2025 @ 10:33am
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya. - Foto NSTP
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, terpaksa berdepan dengan 'rakan' dari UMNO jika mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat yang disandangnya ketika ini.
Ia berikutan keengganan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengubah pendirian menolak Shahelmey mewakili UMNO / Barisan Nasional (BN) di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Menerusi satu maklum balas terhadap kenyataan Shahelmey baru-baru ini mengenai kemungkinan beliau mempertahankan kerusi itu, Bung Moktar menjelaskan UMNO Sabah tidak mungkin memberi laluan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu malah menegaskan UMNO dan BN Sabah sedia untuk berdepan dengan Shahelmey jika beliau mahu mempertahankan kerusi Tanjung Keramat atas tiket parti lain.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 atas tiket BN setelah dicalonkan UMNO.
Kerusi berkenaan adalah antara 13 kerusi DUN baharu yang julung kali dipertandingkan pada PRN16.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Sabah itu digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun selepas mengekalkan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika tercetus kemelut politik Sabah pada Januari 2023.
Ketika itu Bung Moktar mengumumkan keputusan UMNO Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan GRS atas alasan hilang kepercayaan terhadap Hajiji dalam satu cubaan untuk menukar kerajaan menerusi gerakan yang dinamakan Langkah Kinabalu bersama Parti Warisan.
Jika Shahelmey bertanding atas tiket parti lain atau Bebas pada PRN17, ia bermakna kerusi Parlimen Putatan yang dimenanginya pada PRU15 November 2022 akan menjadi kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil selaras dengan undang-undang anti lompat parti.
Selain Shahelmey, turut berdepan situasi sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy yang menyandang kerusi DUN Tanjung Batu dan Parlimen Kalabakan.
Beliau turut digantung enam tahun oleh UMNO Sabah atas sebab yang sama dengan Shahelmey.
Ulasan
Catat Ulasan