
Putra Heights, Trump ajak kita muhasabah diri

Oleh Zulkifli Jalil - April 7, 2025 @ 9:16am
Bencana atau musibah apa sekalipun, kita akan sentiasa berdoa moga-moga dijauhkan. Namun takdir tiada siapa menjangka, melainkan daripada-Nya.
Waima apa pun, kita rakyat Malaysia cukup bernasib baik. Setiap kali datang musibah, apa pun jenis malapetaka, kerajaan sentiasa membantu menanganinya.
Yang terbaharu Khamis lalu apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertindak mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia.
Yang tampak ketara, kerajaan dan PETRONAS saban hari sejak kejadian sentiasa mengeluarkan kenyataan - sama ada kesediaan serta-merta membantu, seterusnya prihatin membantu mangsa terbabit.
Demikianlah kerajaan yang berfungsi untuk rakyatnya. Tempoh hari antara 2020 hingga 2021 sewaktu pandemik COVID-19 menggila, suka atau tidak, dunia memerhati Malaysia sebagai antara leader atau contoh pengurusan COVID-19 dalam pelaksanaan moratorium penangguhan pembayaran hutang dan cairan tunai bantuan rakyat.

Diamati betapa bersatunya rakyat membantu frontliners, patuhnya pada arahan pemerintah dan gembiranya rakyat 'update memasak serta joget' sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Meskipun waktu itu serba kekurangan di sana sini, namun tetap kita sudah tunjukkan teladan baik kepada masyarakat dunia. Dalam perbualan Skype saya dengan rakan network di beberapa negara, mereka menyatakan perkara sama. Berbanggalah kita semua waktu itu dan terus patuh untuk jadi yang terbaik.
Bagi muka lagi
Begitu juga rentak sama ketika insiden di Putra Heights, kerajaan terus prihatin membantu rakyatnya. Bersyukur jika memandang ke luar sana, ada kerajaan di negara tertentu tidak mampu berbuat apa-apa apabila negaranya dibantai musibah.
Di satu sisi baik patut dijadikan contoh setiap kali bencana melanda adalah keyakinan anda kepada kerajaan yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran kepada anda, keluarga dan negara.
Dan apakah kita akan bagi muka lagi kepada wakil rakyat bermusim yang sekadar berperwatakan 'halimunan' pada tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat? Tetapi tiba-tiba muncul di kawasan pada tahun kelima.
Di sebalik pengamatan ini, ada iktibar yang diperoleh kita tempoh hari selepas menempuh tiga kerajaan berbeza sejak 9 Mei 2018, iaitu berkuasa 22 bulan, 17 bulan dan 14 bulan dan terkini akan memasuki tahun ketiga.
Rakyat bukan sahaja kian cerdik, tetapi peka memantau Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.
Jika di Amerika dan England, rakyatnya menukar kerajaan setiap dua penggal. Di England, ada kerajaan baharu setiap 10 hingga 15 tahun. Dua atau tiga pilihan raya sudah berganti kerajaan yang baharu.
Walaupun kerajaan itu mencatat prestasi baik, tetap ditukar. Sistem dua parti seperti itu tidak akan bagi 100 tahun untuk satu-satu parti memerintah.
Di negara ini, kita kena faham lebih 80 peratus rakyat Malaysia melayari internet. Kanak-kanak usia enam ke 10 tahun sudah ada Facebook. Mereka menggunakan telefon bermacam jenama. Mereka jauh lebih pintar berbanding zaman kita dahulu.
Bagaimana hendak menipu generasi ini? Mereka well informed. Bagaimana kita hendak perbodohkan generasi ini hanya dengan perubahan kosmetik. Tidak. perubahan ini semua kena nyata dan drastik.
Keprihatinan kerajaan, wakil-wakil rakyatnya, rule of law not rule by law, akauntabiliti, ketelusan, kebebasan dan kehakiman, kini di tangga nombor satu rakyat.
Persepsi menular
Apa pun, usaha untuk membunuh karakter mahupun memburukkan imej individu tertentu, waima pemimpin kerajaan menerusi persepsi akan terus menular.
Akan dicipta pelbagai jalan cerita untuk menghancurkan imej pemimpin tertentu. Akan terus
dicipta story board dalam membentuk perception
terrorism (persepsi terrorisme) sepanjang masa bagi menghilangkan kepercayaan terhadap pemimpin dan banyak institusi yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara ini.
Apabila merebak ke tindak-tanduk skala begini, tentu sahaja masyarakat buat kesimpulan 'kenapa semuanya serba tak kena dengan si dia ini? Mengapa kecelaruan ini berlaku? Pemimpin manakah dapat memuaskan hati kami?'.
Dalam banyak keadaan, diri seorang pemimpin itu terpaksa membuat keputusan tidak popular demi untuk memberi nafas dalam bentuk makro kepada rakyat, negara, bahkan kepada partinya sendiri.
Dan kita tidak pasti apa yang ada dalam pemikiran seorang pemimpin kerajaan. Hanya kecekalan, keberanian hati kering daripada kepemimpinannya sahaja yang boleh melawan tekanan dihadapi diri dan parti.
Kita rakyat Malaysia kini mahu menilai orang politik dengan pengamatan dan persepsi baharu? Di tengah-tengah keperitan hidup, tidak mahu lagi sebilangannya digelar 'politikus' - hanya meletakkan rakyat dalam keadaan 'gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah'.
Kejadian letupan paip gas di Putra Heights akan sekali lagi menguji keberkesanan kepemimpinan kerajaan dalam membantu rakyatnya.
Demikian juga tindak-tanduk Trump dalam isu tarif terus memeritkan. Entah apa lagi kerenah akan ditimbulkan presiden itu selepas ini. Dunia menggeleng-gelengkan kepala, namun terpaksa akur.
Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH
Ulasan
Catat Ulasan