Rakyat AS bantah, kritik dasar ‘mengarut’ Trump
PENUNJUK perasaan memegang papan tanda dan bendera dengan imej Presiden Donald Trump semasa protes besar-besaran di pusat bandar Los Angeles, kelmarin.- AFP
Oleh .WARTAWAN LUAR NEGARA
7 April 2025, 7:15 am
WASHINGTON: Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan di bandar-bandar utama Amerika Syarikat (AS) kelmarin, untuk membantah dasar kontroversi Presiden Donald Trump, dalam demonstrasi terbesar sejak beliau kembali ke Rumah Putih.
Trump menimbulkan kemarahan ramai rakyat Amerika apabila bertindak agresif mengecilkan saiz kerajaan dan memberi tekanan kepada negara-negara sekutu berhubung isu sempadan serta perdagangan, sehingga menyebabkan kejatuhan pasaran saham.
Penentang dasar presiden Republikan itu berhimpun di Washington, New York, Houston, Florida, Colorado dan Los Angeles serta beberapa lokasi lain.
Di ibu negara AS, ‘lautan manusia’ memenuhi kawasan National Mall apabila ribuan penunjuk perasaan – termasuk mereka yang datang dari pelbagai negeri berhimpun untuk menyuarakan bantahan terhadap Trump.
Di Los Angeles, seorang wanita berpakaian seperti watak dari novel dystopian The Handmaid’s Tale, mengibarkan bendera besar bertulis ‘keluar dari rahim saya’ sebagai sindiran terhadap dasar anti pengguguran Trump.
“Saya amat marah, setiap masa marah kerana sekumpulan orang tidak guna kini mentadbir negara kita dan itu tidak bagus,” kata seorang pelukis, Shaina Kesner ketika berarak di Manhattan.
Sementara di Denver, Colorado, seorang lelaki dalam kalangan penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis ‘tiada raja untuk Amerika Syarikat’.
Perhimpunan bantahan itu turut merebak ke beberapa negara Eropah, di mana penunjuk perasaan menyuarakan bantahan terhadap Trump dan dasar perdagangan agresifnya.
Di London, orang ramai juga turun ke jalanan untuk menzahirkan bantahan dan rasa tidak puas hati terhadap keputusan dasar yang dibuat Trump.
“Apa yang berlaku di AS merupakan masalah semua pihak. Dia (Trump) akan menyebabkan kemelesetan ekonomi global berlaku dalam masa terdekat,” kata Liz Chamberlin di London.
Ramai dalam kalangan ahli Demokrat mengutuk kerana parti itu, yang kini menjadi minoriti dalam dua dewan Kongres, tidak mampu menghadapi tindakan Trump.
Demonstrasi besar pada Sabtu secara keseluruhannya berlangsung dalam suasana aman, melibatkan pelbagai peringkat masyarakat terdiri daripada warga emas sehingga golongan muda.
Penganjur perhimpunan di Washington menjangkakan kehadiran sekitar 20,000 orang, namun jumlah peserta dilaporkan melebihi jangkaan.
TARIF 10 PERATUS BERMULA
Ejen kastam AS mula mengutip tarif unilateral sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Trump ke atas semua barangan import dari pelbagai negara pada Sabtu.
Manakala, kadar cukai lebih tinggi terhadap barangan daripada 57 rakan dagang utama dijadualkan bermula minggu hadapan.
Antara negara pertama dikenakan tarif 10 peratus itu termasuk Australia, Britain, Brazil, Colombia, Argentina dan Arab Saudi meskipun kesemua negara tersebut mencatatkan defisit dagangan barangan dengan AS tahun lalu.
Tarif ‘asas’ itu, yang dibayar oleh pengimport AS, mula berkuat kuasa di pelabuhan laut, lapangan terbang dan gudang kastam AS pada pukul 12.01 pagi waktu tempatan, menandakan penolakan penuh Trump terhadap sistem kadar tarif yang dipersetujui bersama sejak era pasca Perang Dunia Kedua.
Buletin Kastam dan Perlindungan Sempadan AS memberikan tempoh pengecualian selama 51 hari untuk kargo yang dimuatkan atau dalam transit ke AS sebelum 12.01 pagi pada Sabtu.
Kargo itu perlu tiba sebelum 27 Mei bagi mengelakkan dikenakan tarif 10 peratus.
Kadar tarif balas setimpal yang lebih tinggi, antara 11 hingga 50 peratus, akan mula berkuat kuasa pada Rabu pukul 12.01 pagi waktu tempatan.
Barangan import dari Kesatuan Eropah akan dikenakan tarif sebanyak 20 peratus, manakala barangan dari China akan dikenakan tarif sebanyak 34 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan cukai baharu Trump ke atas Beijing mencecah 54 peratus.
Sebagai tindak balas, China melaksanakan beberapa langkah strategik, termasuk mengenakan cukai tambahan sebanyak 34 peratus ke atas semua barangan dari AS serta sekatan eksport terhadap beberapa mineral nadir bumi.
Pengumuman tarif Trump pada minggu lalu mengejutkan pasaran saham global, menyebabkan kerugian sebanyak AS$5 trilion (RM22.18 trilion) dalam nilai syarikat indeks S&P 500 menjelang penutupan pasaran pada Jumaat lepas.
Didorong oleh kebimbangan kemelesetan, harga minyak dan komoditi menjunam, manakala pelabur beralih kepada bon kerajaan yang lebih selamat. – AFP/AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan