

Berita
Salah bendera: Pergi desak tutup KPM, sindir Teng
Diterbitkan: Apr 24, 2025 5:18 PM
Dikemaskini: 5:20 PM
Bekas Exco Selangor Teng Chang Khim menyindir kerajaan dan "patriot" tertentu berhubung kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.
Ini susulan permohonan maaf daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung kejadian itu.
“Menurut piawaian patriot tertentu, kita juga harus menuntut ketua kementerian digantung daripada jawatannya, dan perdana menteri mesti menegaskan semula bahawa ini adalah perkara yang serius untuk ditangani mengikut undang-undang,,
"Mengikut logik yang sama, maka polis mesti menahan ketua kementerian dan merekodkan kenyataannya, kemudian memanggil empat puluh individu lain untuk disoal siasat.
"Mereka yang hadir di pejabat Sin Chew Daily untuk membantah dan menggesa pembatalan permit percetakan syarikat itu kini perlu pergi ke ibu pejabat KPM untuk membantah dan menuntut penutupannya.
"Dan semua menteri yang mengisytiharkan retorik patriotik yang tinggi harus bersuara untuk menegur KPM," tulisnya dalam catatan Facebook hari ini.

Pada 15 April, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak mempunyai bulan sabit di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang menegaskan pihak pengurusan dan editorial akhbar itu mesti lebih berhati-hati dan meneliti bahan sebelum diterbitkan.
Susulan tindak balas itu, akhbar itu memohon maaf, menyatakan bahawa kesilapan itu adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Sin Chew juga telah menggantung dua editornya berhubung perkara itu.
Pada 18 April, beberapa aktivis hak Melayu menggesa Sin Chew Daily memecat kedua-dua editor itu. Beberapa laporan polis juga dibuat terhadap syarikat itu.
Hari ini, KPM mengeluarkan permohonan maaf selepas Laporan Analisis SPM didapati mengandungi gambaran yang salah mengenai Jalur Gemilang.

Ulasan
Catat Ulasan