Sanusi betulkan persepsi, bukan tolak RM41 juta



Sanusi betulkan persepsi, bukan tolak RM41 juta
April 23, 2025

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan pada dasarnya pihaknya tidak menolak intensif sebanyak RM41 juta yang dicadangkan PLANMalaysia untuk bayaran fiskal kepada kawasan Jelapang Padi dan luar Jelapang Padi di Kedah.

Namun beliau tidak bersetuju jumlah yang dicadangkan kerana ia tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan Kedah sejak sekian lama.

“Ada pihak yang cuba memberi gambaran salah, seolah-seolah saya menolak cadangan RM41 juta kepada Kedah.

“Tetapi jumlah berkenaan jauh berbanding tuntutan Kedah iaitu RM200 juta bagi mengekalkan tanah sawah untuk menyumbang 43 peratus beras negara,” tegas beliau membetulkan persepsi salah pihak tertentu berkenaan hal berkenaan.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, melabuhkan tirai, hari ini.

Katanya lagi, apa yang dituntut Kedah berdasarkan nilai serta mekanisma yang hilang akibat pengorbanan itu.

Sedangkan, tambah beliau, cukai bagi tanah padi amat rendah, namun pihaknya terpaksa mengekalkan status itu demi rakyat dan negeri.

“Saya pun tidak pasti sama ada tawaran RM41 juta itu kekal atau tidak, ditambah atau tidak. Tetapi tuntutan Kedah terus kekal iaitu RM200 juta.

“Sejak dulu lagi kita kekal dengan tuntutan itu, sebelum mereka ada ‘proposal’, kita sudah ada. RM1 billion yang dibayar kepada Kedah , bukan bayar kepada kerajaan negeri.

“Saya cakap ini adalah kehilangan dari hasil cukai tanah akibat pengekalan tanah padi yang cukai tanahnya rendah, tapi ada pihak lain cakap pasal projek,” tegasnya lagi.

Katanya, projek yang diumum oleh Kerajaan Persekutuan adalah berkaitan pembaikan Empangan Pedu dan Jeniang Transfer.

Pada awalnya, jelas ADUN Jeneri itu, Kerajaan Persekutuan umum peruntukan untuk projek pertanian di Kedah sebanyak RM3 bilion, kemudian dinaikkan kepada RM5 bilion.

“Mutakhir ini, jumlah berkenaan diturunkan ke RM1 bilion. Tetapi semua projek itu adalah berbentuk insfrastruktur pengairan padi untuk tingkatkan hasil padi.

“Kita cakap dan perjuangankan ini adalah berkenaan cukai tanah sawah padi, kerana itulah hasil kerajaan negeri.

“Kita tak ada hasil lain kecuali cukai tanah, air pun sebahagian sahaja iaitu sumber air mentah dan hutan. Untuk air terawat bukan lagi sumber negeri, sudah diswasta.

“Cukai, industri, import eksport semuanya pergi ke federal yang berjumlah ratusan bilion,” katanya lagi.

Tegasnya, tuntutan RM200 juta itu untuk mengurus negeri berikutan kos-kos berkaitan seperti bayaran gaji kakitangan kerajaan, utiliti seperti elektrik dan air, ditambah dengan penambahan jumlah penduduk, harga barangan semakin meningkat dan lain-lain.

“Ikutnya kita bukan perlu RM200 juta sahaja tetapi lebih lagi. Sebab itu kita sasar hasil negeri sebanyak RM1 bilion menjelang 2028.

“Apa yang boleh mendatangkan hasil untuk kita, kita bawa, kita bukan nak duit ‘cemey’ (percuma), kita ada asas. bukan minta sedekah,” tegasnya lagi.

Namun dalam masa yang sama, kata beliau, sekiranya tanah padi itu dibangunkan dengan projek komersial, industri, perumahan dan lain-lain, ia akan membawa pulangan cukai tanah yang tinggi.

Sungguhpun begitu pihaknya masih komited mengekalkan status tanah padi itu untuk pengeluaran padi di negeri ini. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

Ulasan