

Berita
Saravanan mohon PM hentikan penggunaan istilah kuil haram
Diterbitkan: Apr 21, 2025 12:42 PM
Dikemaskini: 1:07 PM
Timbalan Presiden MIC M Saravanan memohon kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan supaya menghentikan penggunaan istilah kuil haram .
Rayuan bekas menteri itu dikemukakan susulan maklum balas daripada pihak pengurusan Hospital Taiping terhadap aduan berhubung sebuah tempat ibadat yang terletak di kawasannya.
Dalam jawapan rasmi bertajuk “Maklumbalas PCB 965228 - Aduan Kuil Haram”, Timbalan Pengarah Hospital Taiping Arni Nadhirah Abdul Hadi menyatakan bahawa tindakan lanjut sedang diambil mengikut tatacara yang sewajarnya.

Saravanan membantah sekeras-kerasnya bahasa yang digunakan, sambil menekankan bahawa banyak kuil ini telah wujud selama beberapa dekad - jauh sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.
Katanya, melabelkan rumah ibadat Hindu seperti itu sebagai "haram" amat menyinggung perasaan dan adalah tidak sensitif serta mengabaikan fakta sejarah dan budayanya.
“Majoriti kuil itu wujud sewaktu zaman penjajahan British dan Jepun,” katanya sambil memaklumkan surat itu dihantar ke Pejabat Perdana Menteri pagi ini.
"Dari sejarahnya, golongan buruh (India) awal mendirikan rumah ibadat di mana mereka bekerja. Kerajaan seharusnya tidak mengabaikan fakta sejarah sebenar kuil-kuil Hindu yang ini mendapat kelulasan pihak penjajah dan pemerintah tempatan," katanya.
Saravanan berkata setelah berlakunya fragmentasi estet, tanggungjawab kawal selia kuil-kuil beralih kepada penduduk setempat.

Pemimpin MIC itu juga menegaskan bahawa walaupun kuil-kuil ini pada mulanya terletak di pinggiran bandar atau di kawasan pedalaman tetapi pada hari ini, urbanisasi telah menyebabkan kuil-kuil itu seolah-olah terletak di pekan.
"Melabelkan rumah ibadat sebagai 'kuil haram' amat menyinggung perasaan penganut agama Hindu," katanya.
Kewujudan kuil-kuil seumpama ini mendapat perhatian berikutan perpindahan kontroversi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun di Kuala Lumpur, untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.
Ketika itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kuil berkenaan telah dibina di atas tanah tanpa persetujuan kedua-dua pemilik terdahulu dan sekarang.

Perpindahan itu mencetuskan pelbagai reaksi, dengan beberapa warga maya mensasarkan status kesahihan kuil-kuil yang terdapat di negara ini.
Pada 27 Mac, Anwar berkata penyelesaian yang dicapai dalam isu berkaitan tapak Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur bukanlah bertujuan menunjukkan keangkuhan.
Sebaliknya, dia menegaskan penyelesaian itu dicapai atas usaha menteri serta pihak lain yang terlibat secara langsung.
"Kemenangan kita ini bukan kerana keangkuhan.
"Kemenangan ini kerana kita mampu menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam. Bukan keangkuhan,” katanya dalam ucapan di majlis pecah tanah masjid tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan