
‘Saya hanya cari rezeki halal, bukan jual dadah’
April 6, 2025
KUALA LUMPUR: Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, tampil mempertahankan dirinya susulan kejadian tular baru-baru ini yang menyaksikan beliau mengalami kecederaan selepas dipukul ketika menjalankan kerja menjual belon.
Menerusi kenyataan beliau, Zaimuddin menegaskan bahawa beliau hanya mencari rezeki halal dan tidak seharusnya diperlakukan secara zalim hanya kerana latar belakang masa lampaunya.
“Saya adalah seorang yang meniaga jual belon mencari rezeki halal. Oleh kerana bulan Ramadan dan hari raya hampir tiba, saya jual belon secara sambilan kerana kerja sepenuh masa saya sebagai ‘caddy’ golf tidak banyak kerja waktu ini,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan berkait kes lampau yang dikaitkan dengannya, Muhammad Zaimuddin memaklumkan bahawa perkara tersebut akan dijawab oleh peguamnya.
“Berkenaan kes lampau yang memetik sumber saya, buat masa ini saya akan membiarkan peguam saya menjawab soalan. Adakah sebab saya pernah ada kes, maka saya tidak boleh cari rezeki yang halal?” soalnya.
Menurutnya, pada 28 Mac 2025 beliau berada di kawasan beli-belah Sogo Jalan Tunku Abdul Rahman untuk menjual belon, bukan terlibat dalam aktiviti haram.
“Saya tidak jual dadah. Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup, berlaku zalim? Kalau saya ada kes lampau, adakah itu lesen untuk siapa-siapa saja boleh pukul saya kalau saya miskin?” soalnya.
Zaimuddin turut meluahkan kekesalan terhadap layanan yang dikatakan diterimanya daripada pihak berkuasa tempatan.
“Sudah ada kes lampau? Adakah DBKL (Dewan Bandara Kuala Lumpur) boleh layan saya macam sampah? Saya ambil tindakan ini kerana saya ada hak diri. Saya ada maruah, keluarga saya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang membantu dan memberikan sokongan kepadanya sepanjang insiden itu berlaku.
“Saya berterima kasih pada semua yang bantu saya. Ampun Tuanku, patik junjung kasih atas kehadiran ananda (Sultan Pahang) Tuanku Al-Sultan Abdullah (Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) ke hospital bertemu patik. Begitu juga saya ucapkan kepada mereka yang doakan saya dan keluarga saya,” katanya.
Zaimuddin turut menyentuh mengenai kecaman yang diterima dari sebilangan pihak susulan penularan video kejadian itu.
“Pada yang komen dan beri kata-kata hina saya, saya doakan perkara yang kena pada saya tidak akan dilalui oleh anda semua. Saya lihat video saya dipukul tular.
“Saya mohon maaf pada ibu, ayah, kakak serta adik saya. Saya hendak berubah. Bukan mudah jadi orang miskin dan susah,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan keadilan untuk dirinya.
“Saya akan lawan sebab perkara ini zalim. Pada pihak berkuasa, tolong jaga integriti. Tolong bertindak ikut undang-undang. Saya hanya mencari sesuap nasi bagi diri saya dan keluarga saya. Kami pun hendak berhari raya macam orang lain,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan