
Segera runding tarif dengan Trump atau cari pasaran baharu
Oleh Mohd Jamizal Zainol - April 5, 2025 @ 9:11am
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif import. - Foto REUTERS
LANGKAH Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif import 24 peratus ketika kita masih sibuk bercuti raya, agak mengejutkan.
Ia ibarat satu serangan hendap pada waktu malam. Kesannya, indeks pasaran saham kita jatuh 0.6 peratus kepada 1,517 mata.
Walaupun, Malaysia menjangkakan langkah Trump ini, tarif import 24 peratus agak tinggi.
Jika dibandingkan negara ASEAN lain, Singapura dikenakan hanya 10 peratus. Vietnam pada kadar 46 peratus, Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus) dikenakan tarif tinggi kerana AS menganggap banyak produk dari China menggunakan negara ini untuk eksport barangan mereka ke Amerika. Indonesia pula pada kadar 34 peratus.
Ini bermakna Malaysia mempunyai lebihan eksport berbanding AS. Disebabkan lebihan eksport inilah, Malaysia dikenakan tarif import 24 peratus kerana bagi Trump, keadaan ini tidak menguntungkan ekonomi domestik negaranya kerana mengimport lebih dari Malaysia berbanding eksport.
Apakah barangan dieksport ke AS? Ini perlu diperhatikan secara teliti kerana tidak semua barangan dikenakan tarif berkenaan, sebaliknya ada senarai pengecualian dikenakan.
Pada 2023, barangan utama eksport Malaysia ialah komponen dan alatan elektronik seperti semikonduktor serta alatan komputer.
Selain itu, Malaysia mengeksport minyak sawit, barangan optikal, mesin dan produk berasaskan getah. Dikatakan barangan semikonduktor dikecualikan daripada tarif ini. Jika benar ada sedikit kelegaan kepada Malaysia.
Sebenarnya, dasar Trump ini akan mengubah landskap perdagangan bebas antarabangsa. Selama ini, AS dan negara Barat sentiasa memperjuangkan perdagangan bebas sehingga menubuhkan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi memastikan dasar ini dipenuhi dan dipatuhi seluruh negara.
Tarif Trump ini memberikan kejutan besar kepada perdagangan bebas kerana akan mengubah prinsip asas perdagangan bebas, iaitu 'kelebihan berbanding' atau comparative advantage kepada faedah mutlak atau absolute advantage atau prinsip berlawanan dengan hasrat perdagangan bebas.
Menurut ahli falsafah ekonomi Britain, David Ricardo, prinsip 'kelebihan berbanding' penting dalam perdagangan bebas kerana walaupun sebuah negara boleh mengeluarkan barangan lebih murah, tetapi lebih baik untuk berdagang dengan negara lain.
Ini membolehkan negara itu mendapatkan manfaat hasil perdagangan bebas antara negara daripada tidak berdagang langsung dan mengamalkan dasar tertutup.
Kelebihan jadi pengeluar terbesar minyak sawit
Antara manfaat perdagangan antara negara ialah pertukaran teknologi. Selain itu, jika ada perdagangan bebas antara negara, mereka boleh menumpukan pengeluaran kepada barangan boleh dihasilkan dengan baik dan murah untuk didagangkan dengan negara luar.
Contohnya, Malaysia antara pengeluar terbesar minyak sawit dunia dan mempunyai keupayaan mengeluarkan minyak sawit, sekali gus ia menjadi 'kelebihan berbanding' kepada kita dalam perdagangan bebas.
Pada masa sama, Malaysia mengimport barangan elektronik dari AS. Disebabkan negara itu mengimport minyak sawit Malaysia, maka kita membalas dengan mengimport barangan elektronik dari AS walaupun Malaysia berkeupayaan menghasilkan barangan elektronik sendiri dengan lebih murah.
Inilah timbal balik perdagangan bebas antara negara dan kelebihannya. Namun, apabila Trump mengenakan tarif tinggi kepada import minyak sawit Malaysia, maka produk kita di pasaran negara itu akan menjadi lebih mahal. Akibatnya permintaan minyak sawit berkurangan.
Dasar Trump ini sudah tentu menguntungkan AS kerana mengurangkan kebergantungan kepada minyak sawit dari Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri minyak masak alternatif di sana.
Industri minyak masak AS akan berkembang. Dasar Trump ini memang menguntungkan AS kerana kita tahu dasar 'Make America Great Again' yang tidak lagi mahu bergantung kepada negara luar dan menggalakkan pengeluaran produk dalam negara yang lebih murah.
Jika tarif Trump ini baik untuk AS, maka ia buruk untuk Malaysia. Adakah Malaysia berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa untuk menangani kesan besar kepada ekonomi kita?
Apabila Malaysia dikenakan tarif 24 peratus, bermakna segala eksport Malaysia ke sana, terutama barangan elektronik, kayu-kayan dan minyak sawit akan dikenakan cukai lebih tinggi. Ini bermakna pengeksport terpaksa membayar lebih dan kos pengeluaran meningkat. Apabila kos pengeluaran meningkat, barang akan menjadi lebih mahal kerana kos itu akan dimasukkan ke dalam harga barangan.


Maka harga jualan barangan itu di AS akan lebih mahal. Apabila harga barangan lebih mahal, pengguna negara itu ada pilihan, sama ada terus membeli barangan Malaysia atau mencari alternatif lebih murah. Jika pengguna AS membeli alternatif lain, jualan barangan Malaysia akan merosot.
Apabila jualan merosot, untung syarikat pengeksport akan berkurang. Apabila untung berkurang, syarikat pengeksport Malaysia akan mengurangkan pekerja dan melakukan perkara drastik seperti menutup kilang.
Malaysia tidak dapat hasil melalui cukai bagi syarikat rugi. Apabila hasil Malaysia berkurang, banyak pembangunan terhenti kerana Malaysia jadi lebih miskin.
Lebihan eksport ialah antara elemen pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Apabila eksport merosot, maka kemungkinan KDNK Malaysia juga merosot. Tahun ini, jangkaan KDNK pada kadar 4.6 peratus mungkin gagal.
Itulah kesan tarif Trump pada Malaysia. Sebagai cadangan, Malaysia hendaklah segera mencari pasaran eksport baharu terutama dengan BRICS.
Malaysia perlu meningkatkan dagangan bebas dua hala dengan negara BRICS. Pegawai kita di Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) perlu lebih tangkas mencari pasaran eksport baharu. Selain itu, amat penting diplomat kita atau Perdana Menteri sendiri boleh berbincang semula dengan Trump untuk mengurangkan tarif kepada negara kita.
Pelbagai kaedah perbincangan boleh diusahakan kerana Trump juga masih seorang manusia yang tingkah lakunya berubah-ubah mengikut keadaan dan senario semasa. Ironinya, tarif Trump itu tiba apabila Malaysia masih mencari-cari seorang duta besar yang sesuai ke sana.
Penulis adalah Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan