Sejarah perang tarif sejak abad ke-19




Sejarah perang tarif sejak abad ke-19

09 April 2025 08:20am
Masa membaca: 4 minit

SEJAK lebih dua abad lalu, kuasa global sering menggunakan tarif sebagai senjata ekonomi dan alat tawar-menawar. Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi memperkenalkan cukai baharu yang dikhuatiri bakal mencetuskan perang perdagangan 'membinasakan' ekonomi dunia.

Dalam dunia globalisasi, idea untuk mengenakan levi perdagangan pada kadar maksimum dianggap tidak sesuai memandangkan import dan eksport penting bagi mengukuhkan hubungan bilateral. Tetapi, perang tarif yang dilancarkan Trump telah meningkatkan ketegangan antara kuasa ekonomi dunia seperti China dan Eropah.

Di sebalik pengenalan tarif timbal balik itu, terdapat strategi politik yang kompleks seperti untuk melindungi industri domestik, mengimbangi semula defisit perdagangan atau ia mungkin sekadar bertindak balas terhadap tekanan dalaman.

Berikut adalah sejarah ringkas perang tarif yang pernah melanda dunia sejak lebih 200 tahun lalu.
-------------

1. Undang-undang Jagung (1815-1846)


Susulan Perang Napolean, Britain menggubal Undang-undang Jagung untuk melindungi pertanian domestik negara itu dengan mengenakan tarif tinggi ke atas bijirin diimport. Pemilik tanah mendapat manfaat daripada pelaksanaan undang-undang ini, namun ia membebankan golongan pekerja. Ahli politik, Richard Cobden bersama John Bright yang memimpin gerakan menentang undang-undang itu berjaya meraih sokongan umum untuk membantah tarif tersebut.

2. Tarif Meline (1892)





Perdana Menteri Perancis, Jules Meline memperkenalkan tarif Meline untuk melindungi sektor pertanian dan industri dari persaingan asing. Cukai tersebut menaikkan levi ke atas bijirin diimport hingga mengakibatkan harga yang tinggi kepada petani domestik selain harga makanan lebih mahal terpaksa dihadapi pengguna.

3. Tarif Smoot-Hawley (1930)



Ketika Kemelesetan Besar, Presiden ke-31 AS, Herbert Hoover menandatangani Akta Tarif Smoot-Hawley pada Jun 1930. Ia bertujuan untuk membantu golongan petani, menaikkan duti ke atas pelbagai barangan. Ia mencetuskan tindak balas dari negara seperti Kanada, Perancis dan Sepanyol, sekali gus membawa kepada kemerosotan perdagangan global.

4. Perang Perdagangan Britain-Ireland (1932-1938)



Ketegangan antara kedua-dua negara Eropah itu berpunca daripada anuiti tanah yang tidak dibayar. London mengenakan tarif tinggi ke atas eksport pertanian terutamanya ternakan lembu dari Dublin hingga memberi impak kepada ekonomi negara itu. Ireland bertindak balas dengan pelaksanaan duti ke atas import barangan dan arang batu dari Britain. Pertikaian selama enam tahun itu telah memburukkan lagi ekonomi sebelum hubungan perdagangan bilateral dipulihkan pada 1938.

5. Perang Ayam (1960-an)



Pengeluaran ayam Amerika melonjak selepas Perang Dunia Kedua dan membanjiri pasaran Eropah dengan harga murah. Petani di blok itu bergelut untuk bersaing dengan import tenakan ayam dari AS. Sebagai respons, Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) mengenakan tarif ke atas import ternakan ayam AS pada 1962.

6. Perang kayu balak lembut Kanada (1982- hingga kini)



Pertikaian ini berlarutan selama lebih empat dekad. Washington mendakwa sistem harga dikawal Ottawa sebagai subsidi tidak adil. Perselisihan itu menyebabkan pelaksanaan tarif timbal balik hingga memberi kesan kepada hubungan antara kedua-dua negara.

7. Tarif Auto AS-Jepun (1987)



Presiden ke-40 AS memperkenalkan kadar tarif 100 peratus ke atas barangan eksport Jepun bernilai AS$300 juta (RM1.34 bilion) menyasarkan sektor automotif. Langkah itu untuk 'menghukum' Tokyo kerana didakwa gagal mematuhi perjanjian perdagangan semikonduktor yang bertujuan untuk meningkatkan akses syarikat AS kepada pasaran di Jepun.

8. Perang Pisang (1993-2012)



Kesatuan Eropah (EU) mengenakan levi ke atas pisang yang dieksport dari negara Latin Amerika untuk memberi ruang kepada import dari bekas tanah jajahan mereka di Caribbean dan Afrika. AS mencabar tindakan EU di Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Kedegilan blok itu untuk menarik balik cukai tersebut mencetuskan tindak balas dari Washington yang melaksanakan tarif ke atas barangan mewah Eropah. Pertikaian ini digelar sebagai 'Perang Pisang' dan berlarutan selama hampir dua dekad.

9. Perang Keluli bersama Eropah (2002)



Presiden ke-43 AS, George W Bush memperkenalkan kadar cukai bermula daripada lapan peratus hingga 30 peratus ke atas import keluli demi melindungi industri domestik. Sebagai respons, EU mengancam tarif timbal balik ke atas barangan import Amerika bernilai AS$2.2 bilion (RM9.86 bilion) hingga mengakibatkan Bush akur untuk menarik balik levi tersebut pada 2003.

10. Perang Perdagangan Trump (2018, 2025)



Ketika penggal pertama pentadbiran di Rumah Putih, Trump mengenakan tarif meluas ke atas panel solar dan mesin basuh disusuli dengan cukai yang disasarkan ke atas import China. Ketika itu, Beijing bertindak balas dengan mengenakan levi ke atas produk pertanian dari AS. Di bawah pentadbiran Trump 2.0. beliau mengumumkan tarif timbal balik secara besar-besaran bermula pada kadar 10 peratus hingga lebih 50 peratus ke atas kira-kira 60 negara termasuk EU dan China. Keputusannya yang disifatkan sebagai 'Hari Pembebasan AS' telah menyebabkan 'huru-hara' kepada ekonomi dunia.

Ulasan