Sekolah Menengah Keat Hwa mohon maaf atas insiden gangguan seksual


Berita
Sekolah Menengah Keat Hwa mohon maaf atas insiden gangguan seksual

Diterbitkan: Apr 23, 2025 6:44 PM
Dikemaskini: 6:44 PM

Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Persendirian Keat Hwa, Kedah, bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pengetuanya, Teresa Chang, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang guru lelaki terhadap pelajar sekolah tersebut.

Permohonan maaf itu disampaikan menerusi sebuah video pendek yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi sekolah itu, menampilkan Teresa bersama wakil lembaga pengarah dan PIBG menyatakan kekesalan dan tanggungjawab secara bersama atas insiden berkenaan.

Dalam video berkenaan, Teresa yang kelihatan sebak dan menitiskan air mata, melahirkan rasa kesal atas kejadian tersebut. Dia juga mengakui kelemahan pentadbiran dalam mengendalikan isu tersebut dan berikrar untuk melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh.





“Hari ini, sebagai pengetua, saya ingin memohon maaf dengan tulus kepada mangsa insiden ini, para alumni, serta semua ibu bapa.

ADS


“Dalam beberapa hari ini, kami berusaha mengenal pasti punca sebenar kelemahan kami dan akhirnya mendapati bahawa ia berpunca daripada kecuaian pentadbiran.

“Kami akan memperbaiki prosedur serta merangka semula pelan pengendalian insiden seperti ini, dan melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh.

“Sebagai pengetua, saya bertanggungjawab sepenuhnya dan komited untuk memastikan penambahbaikan dilaksanakan,” katanya.

Selain video permohonan maaf, pihak sekolah turut mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Facebook hari ini.

ADS


Menurut kenyataan tersebut, guru yang terlibat telah dipecat serta-merta dan dilarang daripada memasuki kawasan sekolah.

“Sekolah telah memecat guru berkenaan dan melarangnya daripada memasuki kawasan sekolah. Kami juga sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan menyediakan semua maklumat yang diperlukan — tiada sebarang perlindungan atau usaha menutup kes akan dilakukan,” kata kenyataan itu.

Guru terbabit dilaporkan ditahan polis pada 20 April lalu berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap seorang pelajar.

Insiden ini berlaku tidak lama selepas beberapa kes gangguan seksual turut dilaporkan di sebuah sekolah menengah persendirian Cina di Kulai, Johor, awal bulan ini.

Ulasan