
Sepanduk karikatur: Mereka saja boleh, orang lain salah?
April 13, 2025
TAPAH: Sepanduk karikatur mirip wajah pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada perarakan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah mencetuskan perhatian.
Antara karikatur tersebut digambarkan seseorang meletakkan jari telunjuk di bibir seolah-olah bermaksud senyap hingga ada pemimpin politik yang nampaknya sudah ‘koyak’ dan terasa ‘tamparan’ daripada sinikal itu.
Rata-rata penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) yang hadir di pekarangan Pejabat Daerah Tapah itu semalam, memberi pelbagai tafsiran ke atas sepanduk itu tetapi lebih ramai setuju ia bermaksud diam.
Iaitu merujuk kepada sikap senyap atau berdiam diri daripada bercakap berkenaan hakikat pembohongan, kepincangan dan kegagalan isu-isu serta permasalahan yang berlaku dalam negara termasuk janji tidak ditunaikan PH.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dalam reaksinya berkata tindakan menggunakan karikatur yang seolah-olah menyindir Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fong, sebagai tidak matang dan tidak wajar.
Beliau berkata, tindakan itu kononnya berunsur sindiran berniat jahat dan tidak memberi sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah dilihat cuba memesongkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar perlu diberi perhatian.



Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar dalam pada itu mempersoalkan sama ada pemimpin DAP sebelum ini pernah melahirkan kekesalan ketika kelompok mereka melakukan perkara yang sama.

“Pernahkah mereka (DAP) mengeluarkan kekesalan ketika perbuatan yang sama dilakukan penyokong PH dengan karikatur pelbagai pemimpin termasuk Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang dipamerkan di himpunan sebelum ini dan juga di media sosial.
“Kalau ada kekesalan yang sama yang pernah dikeluarkan terhadap karikatur pimpinan lain selain daripada kelompok mereka, maka nada kami sama dengan beliau,” tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, di sini.
Namun kata Khairul Nadzir, perkara dilihat beliau adalah, sekiranya pihak lain yang lakukan perkara itu, ia seolah-olah salah dan tidak dibolehkan, sebaliknya perkara sama dari kelompok DAP atau PH, maka ia dibolehkan.
“Maknanya seolah-oleh mereka buat boleh tapi bila orang lain buat tak boleh,” bidas beliau yang juga Pengarah Jabatan Penerangan Lajnah Penerangan PAS Pusat.
Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Lenggong, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman turut menempelak Kor Ming yang tidak memberi reaksi seumpama terhadap penggunaan karikatur sinikal dilakukan pemimpin DAP.
Beliau merujuk serangan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Woo Kah Leong, juga menggunakan karikatur dengan gambaran yang berniat jahat terhadap Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria setelah gagal memberi penjelasan isu.
“Saya menggesa Nga Kor Ming pemimpin DAP agar tidak lupa untuk memberi nasihat kepada Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, bahawa sindiran karikatur yang disiarkan di halaman Facebook Woo Kah Leong yang memaparkan imej karikatur ayah saya Haji Razman Zakaria.

“(Iaitu) dengan ulasan ‘Raja Fitnah Bau Busuk Tidak Berbangkai’ sebagai politik DAP yang kebudak-budakan, berniat jahat, tak beri nilai tambah pembangunan negara,” ujarnya mengajuk butiran sama dikatakan Kor Ming. – HARAKAHDAILY 13/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan