
Setahun tragedi berdarah di Ulu Tiram
18 April 2025 07:40am
Masa membaca: 3 minit
Serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024 mengorbankan dua anggota polis. Foto fail
SEBULAN lagi, genaplah setahun tragedi berdarah yang menggemparkan negara apabila Balai Polis Ulu Tiram di Johor, diserang individu bersenjata hingga mengorbankan dua anggota polis muda dan mencederakan seorang lagi.
Insiden yang berlaku jam 2.30 pagi 17 Mei 2024 itu bukan sahaja mengejutkan negara, malah membuka mata rakyat mengenai ancaman keselamatan dalaman yang lebih kompleks daripada dijangka.
Mangsa korban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, baharu sahaja dua tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak suspek sebelum berjaya menembak mati penyerang tersebut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan sehari selepas kejadian mengesahkan bahawa suspek tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
“Suspek yang ditembak mati itu didapati tiada kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Pada awalnya, kita mengaitkan suspek sebagai ahli JI kerana bapa lelaki itu mempunyai pengalaman dengan kumpulan tersebut.
“Namun, siasatan lanjut mendapati suspek bertindak secara bersendirian dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan pengganas,” katanya.
Walaupun suspek didapati bertindak sendiri, siasatan lanjut membawa kepada penahanan tujuh individu lain, termasuk lima ahli keluarganya. Mereka didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas beberapa pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Antara pertuduhan yang dihadapi termasuk memiliki senjata api secara haram, menyokong aktiviti keganasan serta menyembunyikan maklumat mengenai perancangan serangan. Seorang daripada tertuduh merupakan remaja berusia 17 tahun dan prosidingnya dijalankan secara tertutup.
Pendakwaan memohon agar kesemua tertuduh dibicarakan bersama, namun mahkamah menolak atas alasan boleh menyebabkan prejudis terhadap pembelaan tertuduh tertentu. Beberapa prosiding praperbicaraan masih berlangsung setakat April 2025.
Penduduk di kawasan perumahan suspek masih hidup dalam kebimbangan walaupun setahun telah berlalu. Mereka menyifatkan keluarga suspek sebagai tertutup dan tidak bergaul dengan jiran tetangga.
“Mereka tak pernah menyusahkan orang, tapi memang agak berbeza dari segi gaya hidup. Kami tak sangka langsung perkara sebegini boleh berlaku,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Pihak berkuasa tempatan telah meningkatkan rondaan dan mengadakan sesi libat urus bersama komuniti sebagai usaha mengembalikan keyakinan penduduk terhadap tahap keselamatan kawasan.
Susulan insiden itu, PDRM memperketat kawalan keselamatan di semua balai polis dan fasiliti strategik seluruh negara. Pegawai serta anggota diberikan latihan kecemasan dan taklimat keselamatan secara berkala. Satu unit khas turut ditubuhkan untuk memantau elemen radikalisasi dan mengenal pasti saki-baki pengaruh militan di dalam negara, khususnya di selatan tanah air.
Majlis Keselamatan Negara turut memperkemas program deradikalisasi dengan kerjasama institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi membendung pengaruh ekstremisme daripada berkembang.
Insiden di Balai Polis Ulu Tiram merupakan peringatan pahit bahawa ancaman keselamatan bukan sekadar datang dari luar, tetapi boleh bermula dari dalam komuniti sendiri. Hampir setahun telah berlalu, namun luka yang ditinggalkan masih berdarah buat keluarga mangsa dan pasukan polis.
PDRM dan rakyat Malaysia harus terus kekal waspada dan bekerjasama demi memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan.
*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan